Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia promosi Bali Utara seimbangkan Bali Selatan

    JAKARTA, 12 OGOS – Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia mempergiatkan usaha untuk menggalakkan pengagihan pelancong yang lebih seimbang di seluruh Bali berikutan kebimbangan terhadap kesesakan di kawasan selatan pulau percutian itu, yang membawa kepada masalah lebihan pelancong.

    Pada separuh pertama 2024, Bali menerima 2,911,135 pelancong asing, menyumbang 45.39 peratus daripada 6,413,201 jumlah kunjungan ke Indonesia, menurut Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno.

    “Namun, majoriti pelancong tetap tertumpu di Bali Selatan, menambahkan isu lebihan pelancong yang telah menarik perhatian media nasional dan antarabangsa,” katanya pada majlis bertajuk Kolaborasi antara Media dan Kerajaan Tempatan dalam Meningkatkan Promosi Destinasi Pelancongan Berkualiti.

    Acara itu diadakan di Pejabat Daerah Buleleng dan merupakan sebahagian daripada program lawatan media selama tiga hari yang dianjurkan oleh biro komunikasi kementerian dan Pejabat Pelancongan Buleleng.

    Untuk menangani isu ini, Sandiaga mengumumkan pakej pelancongan yang membawa pelawat dari Pemuteran di Bali Utara ke Taman Alam Kawah Ijen dan Gunung Berapi Bromo di Jawa Timur, sebelum kembali ke Pemuteran. Pakej ini direka untuk menggalakkan pelancong meneroka kawasan yang kurang dikunjungi dan dijangka menarik 24,000 pelawat ke Bali Utara dengan nilai potensi 1.2 bilion rupiah, iaitu kira-kira AS$75,000.

    Pemuteran, sebuah kampung di mukim Gerokgak di Buleleng, merupakan permata tersembunyi yang menawarkan kehidupan marin yang menakjubkan untuk aktiviti snorkeling dan menyelam, program pemuliharaan penyu, pantai yang indah serta pemandangan kampung.

    Sandiaga turut menyatakan bahawa kementerian telah melancarkan program latihan untuk meningkatkan pelancongan marin, termasuk kursus keselamatan menyelam yang dikendalikan oleh pakar Divers Alert Network dan The National Association of Underwater Instructors.

    Sementara itu, kementerian juga mempromosikan kampung pelancongan dengan Pemuteran menjadi contoh ketara kerana telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa, termasuk Anugerah Standard Pelancongan ASEAN dan Anugerah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pengurusan berasaskan komuniti dan zon pantai.

    Program lawatan media yang berakhir pada Ahad di Bali Utara, melibatkan media tempatan dan antarabangsa serta diadakan sempena Festival Lovina 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos di Pantai Lovina yang terkenal dengan pasir hitam dan tarikan ikan lumba-lumba. – Bernama

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda