Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia sasar jadi destinasi penempatan modal

    JAKARTA, 8 JULAI – Kerajaan Indonesia sedang melaksanakan inisiatif strategik untuk menubuhkan pejabat keluarga, entiti persendirian yang bertujuan menguruskan urusan perniagaan keluarga mewah, lapor Xinhua.

    Langkah itu akan membolehkan individu berpendapatan tinggi dari pelbagai negara membuat pelaburan tanpa dibebani liabiliti cukai.

    Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengarahkan pembentukan pasukan khas di bawah kepimpinan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, melibatkan beberapa kementerian dan Bank Dunia, untuk menilai skim pelaburan pejabat keluarga dan menyediakan peraturan serta infrastruktur yang diperlukan.

    “Beberapa pelabur asing telah menunjukkan minat awal sebagai pendaftar pertama. Kami akan memberikan maklumat lebih terperinci dalam dua atau tiga minggu akan datang,” kata Luhut pada Jumaat lalu.

    Pejabat keluarga akan ditempatkan di Bali, sebuah pulau peranginan yang menarik pelancong dari seluruh dunia, serta di Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

    Kira-kira AS$11 trilion aset kewangan global kini dilaburkan di luar ekonomi asal mereka, kata Luhut, sambil menambah bahawa jumlah itu dijangka meningkat. Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Hong Kong adalah lokasi utama untuk dana tersebut.

    Luhut merujuk kepada The Wealth Report, yang meramalkan bahawa bilangan individu berpendapatan tinggi di Asia akan meningkat sebanyak 38.34 peratus antara 2023 dan 2028, dengan peningkatan 34 peratus dijangka untuk Indonesia. Beliau juga menekankan bagaimana UAE, dengan lebih daripada 400 pejabat keluarga di Dubai yang mengendalikan bertrilion dolar, adalah perintis dalam penubuhan pusat pengurusan kekayaan.

    “Indonesia, dengan pertumbuhan ekonominya yang kukuh, prospek pelaburan yang luas dan dasar geopolitik yang neutral, mempunyai peluang untuk menarik pelaburan asing dan menjadi destinasi alternatif untuk penempatan modal,” katanya. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda