JAKARTA, 22 JAN – Indonesia akan mewajibkan pengeksport mendepositkan 100 peratus keuntungan daripada eksport sumber asli ke dalam sistem kewangan negara untuk sekurang-kurangnya setahun, menggantikan peraturan semasa yang hanya mewajibkan deposit 30 peratus untuk tempoh minimum tiga bulan, menurut kenyataan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi.
Dasar sedia ada yang berkuat kuasa kepada 1 Ogos 2023, terpakai kepada pengeksport dalam sektor seperti perlombongan, perladangan, perhutanan dan perikanan. Ia dirangka untuk mengukuhkan sistem kewangan negara dan meningkatkan kestabilan ekonomi.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto mengesahkan dasar itu telah dimuktamadkan, dengan peraturan kerajaan sedang disiapkan. Beliau menambah bahawa usaha sedang dilakukan untuk menyelaraskan dengan bank pusat, Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan, dan sektor perbankan bagi melaksanakan peraturan baharu itu.
Di bawah peraturan yang dipinda, pengeksport dengan transaksi di bawah AS$250,000 dikecualikan daripada keperluan baharu itu, menawarkan kelonggaran kepada perniagaan kecil dengan modal terhad.
“Langkah ini bertujuan untuk meringankan beban perniagaan kecil dan membantu mereka kekal berdaya saing di pasaran global,” menurut Airlangga dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dasar baharu itu dijangka meningkatkan rizab pertukaran asing sehingga AS$90 bilion, sekali gus membantu menstabilkan rupiah Indonesia yang kini didagangkan pada paras 16,330 berbanding dolar Amerika Syarikat, menurut laporan CNBC Indonesia.
Bagaimanapun, dasar itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport yang menggesa kerajaan menambah baik skim pembiayaan eksport sebelum pelaksanaannya bagi mengelakkan gangguan kepada operasi mereka. – Bernama