(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Satu
Kematian pasti datang sesuai dengan ajal yang telah ditetapkan ke atas seorang insan. Ke mana saja manusia pergi kematian tetap akan mengejarnya.
Kematian datang tanpa memilih umur, tanpa memilih waktu dan tanpa memilih tempat. Perkara ini jelas sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran: 185)
Ayat ini menjelaskan bahawa semua manusia tidak kekal dan pasti akan mati apabila tiba masanya.
Ayat ini juga sebagai peringatan bahawa kematian itu akan menghilangkan kenikmatan dunia.

Sesungguhnya di sebalik alam kehidupan dunia ini ada lagi alam kehidupan lain yang akan membezakan orang yang baik dari orang yang jahat dan akan diperlihatkan balasan amalan mereka.
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Dan bagi tiap-tiap umat (yang mendustakan rasul-rasul mereka) itu ada ajal (batas waktu kebinasaannya yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajal mereka itu tidaklah dapat mereka undurkan (kemudiankan) walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka dahulukan.” (Surah al-A‘raf: 34)
Sebahagian ulama tafsir juga mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan ajal dalam ayat di atas ialah umur.
Apabila sudah sampai batasan umur atau sudah sempurna maka tidaklah dapat dipercepatkan ataupun dikemudiankan.
Sekuat manapun benteng pertahanan ataupun kubu yang disediakan oleh seseorang untuk mengelak kedatangan mati itu, namun kematian pasti menemui dan mengundangnya. Ini jelas disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Di mana saja kamu berada nescaya maut akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng tinggi yang kukuh.” (Surah an-Nisa’: 78)
Hakikat mati
Banyak orang takut akan mati disebabkan diri mereka belum bersedia.
Antaranya termasuklah mereka yang merasa kurang bekalan amalan untuk menghadapi mati atau disebabkan tidak adanya pengetahuan tentang mati.
Namun bagi orang yang cukup pengetahuan dan keyakinan terhadap hidup sesudah mati dan mungkin merasa dirinya cukup bekalan untuk menghadapi mati, maka bagi mereka tidak ada ketakutan terhadap mati.
Sebilangan manusia mempunyai prasangka yang tidak betul mengenai hakikat mati. Sebahagian mereka menyangka bahawa mati adalah kesudahan suatu kehidupan.
Menurut mereka tidak ada lagi perkara yang dinamakan kebangkitan dan perhimpunan sesudah mati kerana matinya manusia itu adalah seperti matinya seekor binatang dan matinya tumbuh-tumbuhan. Dengan kata lain tidak ada lagi perhitungan selepas mati. Inilah pendapat orang-orang mulhid iaitu orang yang mengingkari adanya Tuhan dan Hari Akhirat.
Manakala sebahagiannya pula ada yang menyangka bahawa sesudah mati dia sudah tidak ada (musnah keseluruhannya). Maka tidak lagi ada rasa sakit terhadap sesuatu siksaan dan tidak ada lagi merasa nikmat pahala selama dia berada di alam kubur sehingga ia dibangkitkan di padang mahsyar.
Sementara itu, ada pula golongan yang menyangka bahawa ruh itu tetap kekal, tidak musnah dengan datangnya mati, dan yang diberi pahala dan disiksa adalah ruh bukanlah tubuh atau jasad kerana tubuh atau jasad itu tidak sekali-kali dibangkitkan dan dihimpunkan di padang mahsyar.
Semua ini adalah sangkaan yang salah dan terpesong dari kebenaran, kerana mati itu adalah perubahan keadaan saja.
Nyawa atau ruh adalah kekal sesudah berpisah dengan jasad iaitu terputus urusan nyawa dengan tubuh dari mentaatinya. Sebab tubuh itu adalah alat bagi ruh.
Sesungguhnya jasad tidak berfungsi setelah mati itu sama sahaja seperti terhentinya fungsi anggota-anggota badan orang yang lumpuh disebabkan kerosakan sifat badan dan kesukaran yang terjadi pada urat saraf.
Dalam keadaan orang yang lumpuh ini, sebahagian anggota badan itu ada yang masih boleh mematuhi kehendak ruh dan sebahagian yang lain tidak mampu mematuhi kehendak ruh.
Namun dalam perkara mati, keseluruhan anggota badan tidak lagi mampu mematuhi kehendak ruh.
Dari itu, semua anggota badan itu adalah alat, dan ruhlah yang sebenarnya memakai alat itu.
Oleh yang demikian, mati bermaksud putus urusan ruh dari badan dan keluarnya badan dari menjadi alat baginya. Sebagaimana makna kelumpuhan, maka mati itu adalah kelumpuhan yang mutlak pada anggota-anggota badan seluruhnya.
Tanda-tanda husnul khatimah dan su’ul khatimah
Oleh kerana kematian itu suatu yang pasti, maka adakah kita akan tergolong di antara orang yang mati dalam keadaan husnul khatimah ataupun sebaliknya su’ul khatimah.
Namun semua orang mahu mati dalam husnul khatimah dan bukannya su’ul khatimah. Ini jelas sebagaimana doa yang seringkali dibaca selepas sembahyang yang ertinya:
“Ya Allah, tamatkan kehidupan kami dengan kesudahan yang baik (matikan kami dalam iman), dan janganlah Engkau tamatkan kehidupan kami dengan kesudahan yang buruk (mati di luar iman).”
Husnul khatimah bererti kesudahan hidup yang baik ataupun mati dalam iman. Sementara su’ul khatimah bererti kesudahan hidup yang buruk ataupun kematian di luar iman.