Wednesday, May 15, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ingat-ingatlah akan kematian

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lalu

    Antara tanda-tanda husnul khatimah itu ada disebutkan di dalam hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

    1. Hadits daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda yang maksudnya:

    “Jika Allah menghendaki seseorang hamba itu dengan kebaikan, maka akan disegerakan hukumannya di dunia. Manakala jika Allah menghendaki seorang hamba itu dengan keburukan, maka akan ditahan (seksanya) disebabkan dosanya sehingga dipenuhi (pembalasannya) di hari kiamat.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    2. Hadits daripada ‘Amr bin al-Hamiq Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Jika Allah menghendaki seorang hamba itu dengan kebaikan, (nescaya) Dia jadikan orang itu beramal.”

    Bertanya para sahabat: “Bagaimanakah Dia menjadikan orang itu beramal?”

    Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan: “Orang itu akan dituntun untuk melakukan amal salih ketika mana dia mendekati ajalnya sehingga (kerana amalnya itu) orang-orang di sekelilingnya meredhainya.” (Hadits riwayat Ahmad)

    Amalan ziarah kubur ini boleh mengingatkan kepada akhirat dan kematian. – Agensi

    3. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Sha-llallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Bahawa seorang lelaki (ada antara mereka) melakukan dalam masa yang panjang pekerjaan ahli syurga, kemudian disudahinya dengan amalan ahli neraka, dan ada pula seorang lelaki yang melakukan dalam masa yang panjang pekerjaan ahli neraka, kemudian disudahinya dengan amalan ahli syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

    Sesungguhnya hadits di atas merupakan bukti bahawa ketentuan takdir itu adalah daripada Allah Ta‘ala sepertimana orang yang bertaubat boleh menghilangkan dosa-dosa yang dilakukannya sebelum itu mengikut ketentuan dan kehendak Allah Ta‘ala melainkan orang kafir.

    Manakala su’ul khatimah pula sebagaimana dikatakan oleh ulama, antara faktor besar yang boleh menyebabkan su’ul khatimah ada empat: “Mengabaikan sembahyang, minum arak, derhaka kepada ibu bapa dan menyakiti orang Islam.”

    Para ulama merumuskan dengan lebih luas sebagai: “Tiada yang menjadi sebab su’ul khatimah itu melainkan kekal di dalam maksiat pada zahir dan batin tanpa taubat.”

    Anjuran mengingati mati dan hukumnya

    Selain melakukan segala kewajipan agama, kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan sunat sebagai bekalan di akhirat kelak. Antara perkara sunat itu ialah memperbanyakkan mengingati mati. Bukan sahaja ketika seseorang itu dalam keadaan sakit, malah walaupun ketika dalam keadaan sihat sunat memperbanyakkan mengingati mati.

    Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Hendaklah kamu banyak-banyak mengingati pemutus kenikmatan (mati).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    Sementara itu dalam hadits yang lain, orang yang mengingati mati itu dianggap sebagai orang yang paling cerdik sebagaimana tersebut dalam satu riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:

    “Sedang aku bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maka datang seorang lelaki dari kaum Anshar lantas memberi salam kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang lebih utama?” Baginda menjawab: “Iaitulah, orang-orang yang lebih baik akhlak.” Kemudian lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah orang mukmin yang paling cerdik?” Baginda menjawab: “Iaitulah, siapa yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persiapannya menghadapi masa-masa sesudahnya. Mereka itulah orang-orang yang cerdik.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

    Orang yang mengingati mati juga dianggap sebagai orang yang sangat pemalu, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” Kami berkata: “Kami malu kepada Allah dan pujian-pujian bagi Allah.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa malu kepada Allah sebenar-benar malu maka (orang itu) hendaklah menjaga kepalanya dan yang terkandung di dalamnya, menjaga perut dan apa yang terkandung di dalamnya, mengingati mati dan kehancuran yang berlaku akibatnya, dan barangsiapa yang mahukan akhirat maka dia meninggalkan perhiasan kehidupan dunia. Barang siapa yang berbuat demikian itu, maka dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

    Keadaan manusia mengenai mengingati mati

    Terdapat beberapa keadaan manusia tentang kesedaran mereka dalam mengingati mati sebagaimana berikut:

    1. Orang lalai mengingati mati

    Jenis orang yang pertama ini tidak syak lagi hatinya akan lalai daripada mengingati mati kerana terlalu mengejar keduniaan. Orang yang terlalu mengejar keduniaan ini akan mencela mati jika mereka teringat mengenainya. Maka orang seperti ini jelas jauh sekali untuk mengingati mati dan mengingati Allah.

    2. Orang takut dan gementar

    Orang yang bertaubat banyak mengingati mati untuk membangkitkan di dalam dirinya perasaan takut dan gementar, supaya dengan itu akan mendorongnya untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Boleh jadi orang dari golongan ini tidak suka mati, tetapi dia tidak suka kepada mati disebabkan dia takut kalau-kalau dia tidak sempat untuk bertaubat dan tidak cukup bekalan untuk mati. Perasaan “tidak suka” kepada mati dalam hal ini adalah tidak mengapa dan dimaafkan.

    3. Orang bersedia mengingati mati

    Menurut ilmu tawassuf, ilmu ma‘rifat itu ialah sebahagian daripada ilmu rasa yang tidak dapat dibayangkan hanya dengan akal, kerana ilmu ma‘rifat itu ialah ilmu terbukanya hijab hati sehingga dipenuhi dengan cahaya kebenaran Ilahi.

    Maka orang yang berilmu ma‘rifat selalu mengingati mati kerana itulah waktu yang dijanjikan untuk bertemu denganNya. Menurut kebiasaan orang akan mengharapkan supaya lambat menghadapi kematian, berbeza dengan orang yang berilmu ma‘rifat, kerana mereka ini suka menghadapi kematian supaya terlepas dunia yang penuh dengan maksiat dan berpindah ke sisi Tuhan semesta alam sebagaimana riwayat dari Huzaifah bahawa tatkala beliau hampir mati, beliau mengucapkan: “Ya Allah Tuhanku, jikalau Engkau mengetahui bahawa kemiskinan lebih aku sukai dari kekayaan, sakit lebih aku sukai dari sehat dan mati lebih aku sukai dari hidup, maka mudahkanlah mati kepadaku, sehingga aku menemuiMu.”

    Perkara-perkara yang boleh mengingatkan mati

    Ada beberapa cara yang boleh mengingatkan kita kepada kematian, antaranya ialah:

    1. Menziarahi orang nazak

    Tiada diketahui bagaimanakah rasanya sakaratul maut melainkan bagi mereka yang telah merasainya. Orang-orang yang belum merasainya mengetahui rasa sakaratul maut hanyalah dengan mengqiyaskannya kepada kepedihan-kepedihan yang pernah dialaminya ataupun berpandukan kepada keadaan orang ketika nazak (dicabut nyawa). Oleh itu, menyaksikan orang yang sedang sakaratul maut boleh mengingatkan kepada kematian.

    2. Menziarahi kubur

    Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam. Manakala hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana sifat mereka yang tidak sabar, cepat tersentuh perasaan, dan ditakuti akan menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan sehingga menyebabkan kaum perempuan mudah menangis, meraung atau meratapi kubur si mati.

    Amalan ziarah kubur ini boleh mengingatkan kepada akhirat dan kematian. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam ada menyebutkan bahawa amalan menziarahi kubur boleh mengingatkan seseorang kepada kematian sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Sebelum ini aku telah menegah kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahilah ia, kerana ziarah kubur itu memalingkan daripada dunia dan mengingatkan kepada akhirat.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

    Dalam lafaz lain juga disebut ziarah kubur itu akan mengingatkan kepada kematian sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menziarahi kubur ibu Baginda, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya, lalu Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada mati.” (Hadits riwayat Muslim)

    3. Menziarahi orang sakit

    Sementara menziarahi orang sakit pula serba sedikit boleh mendorong seseorang itu untuk mengingati kematian. Melihat kepada kesakitan yang dideritai oleh seseorang itu akan serba sedikit boleh menimbulkan kesedaran untuk lebih mengingati Allah ta‘ala dan kematian. Tambahan lagi menziarahi orang sakit hukumnya adalah sunat muakkadah. Antara hadits yang menegaskan hukum tersebut ialah antaranya sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Barra’ Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami (melakukan) tujuh perkara dan menegah kami daripada tujuh perkara (iaitu), Baginda menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang yang sakit.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Tambahan lagi, menziarahi orang sakit merupakan hak sesama orang Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendoakan orang bersin.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Sebagai kesimpulan, mati adalah perkara yang besar dan dahsyat. Kematian pasti akan dihadapi dan dialami oleh setiap manusia. Kejadian tersebut tidak dapat dihindari dengan cara bagaimanapun juga. Mengingati mati pula akan menimbulkan rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan meninggalkan segala laranganNya, serta akan mendorong kita bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan amal kebajikan untuk bekalan menghadapi perhitungan Allah di akhirat kelak. Segeralah gerakkan diri kita untuk selalu mengingati mati supaya kita tidak lalai dan hanyut mengejar perkara-perkara keduniaan semata-mata dan kita terlepas peluang untuk menyediakan bekalan untuk keperluan alam akhirat.

    Dengan mengingati mati juga akan menghindarkan kita dari bersifat sombong, bongkak, takabbur dan bangga dengan kemewahan dunia yang kita miliki. Bahkan akan mendorong kita untuk lebih memanfaatkan dan menginfaqkannya ke jalan kebajikan demi mengharapkan reda Allah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hospital di India terima ancaman bom

    NEW DELHI, 14 MEI – Beberapa buah hospital di Ibu Kota India, Delhi hari ini menerima panggilan ancaman bom, memaksa pihak pentadbiran untuk menghubungi...