Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovator muda cipta robot tangani bencana alam

    YANGON – Dalam pertandingan robot yang diadakan baru-baru ini di Yangon, inovator muda Myanmar mempamerkan robot ciptaan mereka yang direka untuk menangani senario bencana dan menambah baik tindak balas kecemasan.

    Seorang pelajar berusia 13 tahun daripada pasukan We Are Genius Myanmar Team 2, Nyan Koe, menyertai pertandingan tersebut dengan kereta robotik rekaannya.

    “Saya menyertai pertandingan ini kerana minat dalam bidang robotik. Saya bertanding dalam kategori kereta mencari dan menyelamat. Ia boleh digunakan dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh,” katanya.

    Nyan menerangkan bahawa kereta robotik ini boleh pergi ke kawasan bangunan runtuh.

    Manusia tidak dapat memasuki kawasan bahaya seperti itu, tetapi robot mampu memasuki ruang tersebut dan membantu menyelamatkan mangsa.

    Para pelajar ketika menyertai pertandingan tersebut di Yangon, Myanmar. – Xinhua
    Para pelajar sedang menyiapkan robot mereka semasa pertandingan tersebut di Yangon, Myanmar. – Xinhua
    Para pelajar sedang menyiapkan robot mereka semasa pertandingan World Robot Olympiad 2024 di Yangon, Myanmar. – Xinhua

    Nyan Koe turut berkongsi aspirasinya untuk membangunkan kereta robotik tersebut, “Di Myanmar, saya melihat operasi penyelamatan kurang menggunakan teknologi. Saya ingin membantu pasukan penyelamat di sini,” katanya.

    Sementara itu, seorang pelajar berusia 11 tahun dari pasukan We Are Genius Myanmar Team 1, Kyaw Bhone Khant Zaw, menerangkan projek pasukannya, “Kami mencipta bot robotik pencarian dan penyelamat yang direka untuk menyelamatkan nyawa. Pada masa ini, banyak kejadian banjir berlaku di Myanmar, dan saya ingin membantu menyelamatkan mereka yang dalam bahaya. Bot ini akan membantu dalam usaha penyelamatan tersebut.”

    Manakala seorang pelajar berusia 17 tahun dari pasukan ILBC 1, Ko Ko Gyi, berkata, “Projek kami memberi tumpuan kepada melindungi komuniti daripada kesan buruk bencana alam seperti banjir dan gempa bumi.

    “Dengan menggabungkan teknologi inovatif bersama amalan lestari, kami berhasrat untuk mencipta penyelesaian yang bukan sahaja menghalang kerosakan tetapi juga membantu dalam usaha membina semula dan melindungi nyawa,” katanya.

    “Kami memilih projek ini dengan harapan dapat menyelamatkan nyawa melalui teknologi di masa hadapan,” tambahnya.

    Seorang pelawat asing yang mengunjungi petak pameran projek tersebut, Maria, 50, berkata, “Saya rasa pertandingan ini amat menarik, dan saya kagum dengan hasil ciptaan inovator muda ini. Sungguh menakjubkan melihat keupayaan dan kreativiti belia Myanmar dalam menggunakan teknologi untuk tujuan kemanusiaan.

    “Sangat memberikan inspirasi apabila melihat generasi muda tampil untuk menangani isu-isu serius dan mencipta perubahan positif. Masa depan kelihatan cerah dengan adanya individu penuh minat dan berkemampuan seperti mereka yang memimpin ke arah ini,” kata Maria.

    Lebih 50 peserta daripada 15 pasukan di seluruh Myanmar bertanding dalam dua kategori pertandingan robot, iaitu Robo Mission dan Future Innovators, di mana para pemenang akan mewakili Myanmar dalam acara pertandingan Final World Robot Olympiad 2024 di Turkiye pada November ini. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda