SAN FRANCISCO, 21 Jun – Instagram semalam berkata ia mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna aktif sekarang, tatkala ia melancarkan ciri-ciri video baharu dalam usaha untuk menarik ‘pembikin’ seperti yang terdapat di YouTube.
Ia menjadi platform Facebook keempat yang mencecah satu bilion pengguna, termasuk rangkaian sosial yang sama nama dengan lebih dua bilion pengguna dan aplikasi pesanan WhatsApp dan Messenger.
Instagram, yang mempunyai kira-kira 800 juta pengguna pada September, telah mengatasi rangkaian sosial pesaing seperti Twitter dan Snapchat dan telah memperoleh lebih ramai pengguna lebih muda walaupun ketika Facebook sendiri telah melihat kemerosotan dalam segmen belia.
Ketua eksekutif Instagram, Kevin Systrom mengumumkan peristiwa penting tersebut ketika beliau melancarkan aplikasi video baharu yang dikenali sebagai IGTV.
“Sekarang kami mempunyai satu komuniti yang terdiri daripada satu bilion pengguna,” beritahu Systrom pada acara di San Francisco.
“Sejak pelancaran kami pada tahun 2010, kami telah melihat dengan kagum tatkala komuniti berkembang.”
Memandangkan Facebook sendiri telah menceburi dalam video, Instagram akan menjadi pesaing langsung kepada YouTube dengan IGTV.
IGTV akan membolehkan mana-mana pengguna memuat naik video panjang dan juga akan termasuk ‘saluran’ daripada ‘pembikin’ video, sama dengan format yang digunakan oleh YouTube milik Google yang telah melahirkan beberapa ‘bintang’ YouTube.
“Sesiapa boleh menjadi pencipta, anda boleh memuat naik video IGTV anda sendiri dalam aplikasi atau di sesawang untuk memulakan saluran anda sendiri,” kata Systrom.
Systrom berkata IGTV dicipta untuk digunakan di telefon pintar, dan menambah masa untuk video daripada had sebelumnya selama satu minit. – AFP