CHENNAI, 30 DIS – Seorang penganut Hindu di India yang telefon pintar, iPhone miliknya terjatuh dalam tabung derma (hundial) di sebuah kuil, diberitahu bahawa telefon pintar itu kini menjadi ‘hak’ dewa dan tidak boleh dikembalikan.
Kejadian berlaku ketika lelaki dari Chennai itu mengunjungi Kuil Arulmigu Kandaswamy, Thiruporur di negeri Tamil Nadu bersama keluarganya, bulan lalu, lapor Oddity Central.
Ketika sedang melakukan sembahan untuk dewa, dia yang dikenali Dinesh menyedari telefon bimbitnya secara tidak sengaja terjatuh ke dalam hundial dan segera memaklumkan kepada wakil kuil.
Bagaimanapun, Dinesh terkejut apabila pihak pengurusan kuil enggan mengembalikan telefon bimbit itu, sambil mendakwa peraturan kuil yang melarang mereka mengembalikan apa-apa sumbangan yang sudah dimasukkan dalam tabung kerana ia milik dewa kuil.
Dinesh enggan berputus asa dan memfailkan aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Hindu dan Kebajikan Amal, mendesak agar hundial itu dibuka.
Tabung logam itu akhirnya dibuka bulan ini dan ketika hadir menyaksikannya, Dinesh berharap dapat mengambil semula iPhone miliknya, tetapi pegawai kuil bertegas enggan mengembalikan ia.
“Apa-apa yang dimasukkan ke dalam kotak persembahan, walaupun dilakukan secara tidak sengaja sudah menjadi sebahagian daripada akaun Tuhan,” tegas Sekar Babu, Menteri Jabatan Hal Ehwal Agama Hindu dan Kebajikan Amal.
Katanya, peraturan tidak membenarkan pentadbiran kuil untuk memulangkan sumbangan dewa kepada penganut.
Bagaimanapun, Dinesh dibenarkan untuk memindahkan data daripada telefon bimbit berkenaan dan Sekar Babu memaklumkan akan berbincang dengan pihak kuil berhubung pampasan yang boleh diberikan kepada lelaki itu.
Insiden berkenaan tular di media sosial India dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai tindakan pihak kuil, malah kebanyakannya menyifatkan ia sebagai tidak wajar. – Agensi