Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran perlu AS$100 bilion dalam pelaburan asing

    TEHERAN, 1 SEPT – Presiden Iran berkata kelmarin negaranya memerlukan kira-kira AS$100 bilion dalam pelaburan asing untuk mencapai sasaran tahunan pertumbuhan ekonomi lapan peratus berbanding kadar semasa sebanyak empat peratus.

    Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang dipilih Julai lalu, semasa menghadiri wawancara langsung pertamanya di televisyen kerajaan berkenaan.

    Pezeshkian berkata Iran memerlukan sehingga AS$250 bilion untuk mencapai matlamatnya tetapi lebih separuh boleh didapati daripada sumber domestik. Pakar berkata pertumbuhan lapan peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mengurangkan inflasi dua angka dan kadar pengangguran.

    Ratusan entiti dan individu di Iran terdiri daripada bank pusat dan pegawai kerajaan kepada pengeluar dron dan penukar wang sudah pun diletak di bawah sekatan antarabangsa, kebanyakan mereka dituduh menyokong Pengawal Revolusi Iran dan kumpulan asing seperti Hamas, Hizbullah dan Houthi.

    Pezeshkian dalam wawancaranya mengadu tentang sekatan dan berkata pentadbirannya merancang untuk mengurangkan inflasi, yang mencecah lebih daripada 40 peratus setiap tahun.

    Pezeshkian turut mengesahkan lawatan pertamanya ke luar negara adalah ke negara jiran Iraq dan seterusnya ke New York untuk menghadiri mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 22 hingga 23 September.

    Beliau berkata semasa berada di New York, beliau akan bertemu dengan ekspatriat Iran untuk mempelawa mereka melabur di Iran. Daripada lebih lapan juta ekspatriat Iran, kira-kira 1.5 juta warga Iran tinggal di Amerika Syarikat. – AP

    Presiden Masoud Pezeshkian bercakap dalam temu bual langsung oleh televisyen kerajaan berkenaan, di pejabatnya di Tehran, Iran pada 31 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda