TEHRAN, 9 DIS – Mesyuarat Menteri Forum Negara Pengeksport Gas (GECF) ke-26 telah dimulakan di ibu kota Iran, Tehran, kelmarin, lapor agensi berita rasmi IRNA.
Mesyuarat satu hari yang dipengerusikan oleh Menteri Minyak Iran, Mohsen Paknejad, turut dihadiri oleh Setiausaha Agung GECF, Mohamed Hamel serta menteri-menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan dari kementerian minyak dan gas negara anggota GECF, menurut laporan tersebut.
Dalam ucapan pembukaannya, Paknejad berkata mesyuarat itu memberikan peluang yang baik untuk pertukaran idea dan perundingan antara anggota dan pemerhati GECF.
Beliau juga memberi amaran bahawa ketegangan dan ancaman di wilayah Asia Barat, termasuk yang berlaku di Gaza, Lubnan dan Syria, menjejaskan kestabilan serantau dan keselamatan tenaga global.
Selain itu, Hamel menyatakan sejak penubuhan forum itu pada tahun 2001, permintaan global terhadap gas asli telah meningkat sebanyak 70 peratus, menurut agensi berita Shana yang bergabung dengan Kementerian Minyak Iran.
Hamel menambah GECF meramalkan bahawa penggunaan gas asli global akan meningkat sebanyak 34 peratus menjelang 2050.
GECF mempunyai 12 anggota termasuk Algeria, Bolivia, Mesir, Guinea Khatulistiwa, Iran, Libya, Nigeria, Qatar, Rusia, Trinidad dan Tobago, Emiriah Arab Bersatu dan Venezuela.
Organisasi itu juga mempunyai lapan negara pemerhati, lima daripadanya iaitu Azerbaijan, Iraq, Mauritania, Senegal dan Mozambique menghadiri mesyuarat tersebut, menurut laporan IRNA.
Menurut laporan gambaran keseluruhan yang diterbitkan di laman web GECF, anggota GECF mengawal 69 peratus daripada simpanan gas dunia, 39 peratus daripada pengeluaran yang dipasarkan, 40 peratus daripada eksport gas global dan 51 peratus daripada eksport gas asli cecair. – Xinhua