LONDON, 16 JAN – Alexander Isak memimpin Newcastle mara ke kelompok empat teratas Liga Perdana kelmarin, dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 menentang Wolves.
Isak yang tampil menyerlah menemui jaringan untuk perlawanan liga kelapan berturut-turut ketika The Magpies mengatasi kedudukan Chelsea di tempat keempat dalam carta liga.
Pemain antarabangsa Sweden itu meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-34 apabila rembatannya terkena pertahanan Wolves, Rayan Ait-Nouri, menyebabkan Jose Sa keliru untuk melakukan penyelamatan.
Penyerang itu merupakan pemain keempat yang menjaringkan gol dalam lapan penampilan Liga Perdana berturut-turut, selepas Jamie Vardy (dua kali untuk Leicester), Ruud van Nistelrooy (dua kali untuk Manchester United), dan Daniel Sturridge (untuk Liverpool).
Isak menggandakan pendahuluan Newcastle sejurus sebelum sejam perlawanan, di mana dia mengawal hantaran Bruno Guimaraes sebelum merembat masuk untuk gol liga ke-15nya musim ini manakala Anthony Gordon turut menambah gol ketiga.
Anak buah Eddie Howe, yang kini telah memenangi enam perlawanan liga berturut-turut, kembali bersemangat daripada musim suram yang panjang untuk berjuang mendapat tempat di Liga Juara-juara musim depan.
Mengambil kesempatan daripada prestasi lemah Manchester City dan Chelsea, mereka hanya ketinggalan tiga mata di belakang Nottingham Forest yang menghuni tempat ketiga. – AFP