Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ismail Haniyeh  tiba di Kaherah untuk rundingan gencatan senjata

    KAHERAH, 20 FEB – Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh tiba di Kaherah hari ini untuk rundingan dengan pegawai Mesir, menurut kumpulan pejuang itu, beberapa hari selepas pengantara berkata prospek untuk gencatan senjata baharu dengan Israel telah redup.

    Ketua Biro politik Hamas yang berpangkalan di Qatar akan “mengadakan rundingan dengan pegawai Mesir mengenai situasi politik dan situasi di lapangan,” menurut satu kenyataan.

    Delegasi itu juga akan membincangkan “usaha untuk menghentikan pencerobohan, memberikan bantuan kepada rakyat dan mencapai matlamat rakyat Palestin,” tambahnya.

    Walaupun terdapat banyak pertemuan dengan perunding Israel dan Hamas minggu lalu, orang tengah Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) tidak membuat sebarang kemajuan dalam usaha untuk menghentikan pertempuran tanpa henti selama lebih dari empat bulan.

    “Corak dalam beberapa hari kebelakangan ini tidak begitu menjanjikan,” kata Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani pada Persidangan Keselamatan Munich pada Sabtu.

    Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Haniyeh memperbaharui tuntutan Hamas, walaupun beberapa daripadanya telah ditolak sebagai ‘penipuan’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

    Tuntutan itu termasuk gencatan senjata, pengunduran Israel dari Gaza, menamatkan sekatan Israel terhadap wilayah itu dan tempat perlindungan yang selamat untuk ratusan ribu orang awam Palestin yang berpindah.

    Israel telah berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober yang belum pernah berlaku sebelumnya yang mengakibatkan kematian 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut AFP angka rasmi Israel.

    Serangan balas telah membunuh 29,195 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang ditadbir oleh Hamas.- AFP

    Seorang kanak-kanak Palestin beratur untuk mendapatkan makanan di sebuah sekolah kerajaan di Rafah. Ismail Haniyeh tiba di Kaherah untuk rundingan dengan pegawai Mesir termasuk membincangkan usaha untuk menghentikan pencerobohan, memberikan bantuan kepada rakyat dan mencapai matlamat rakyat Palestin.- AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda