RAFAH, 20 FEB – Israel mengarahkan pemindahan baharu dari beberapa kawasan bandar Gaza hari ini, sementara satu kajian yang diketuai oleh agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa satu daripada enam kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut di kawasan terpencil di utara wilayah itu.
Laporan itu mendapati kesengsaraan yang semakin teruk di seluruh wilayah, di mana serangan udara dan darat Israel, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober, telah membunuh lebih 29,000 rakyat Palestin, memusnahkan seluruh kawasan kejiranan dan menyebabkan lebih 80 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal.
Israel berikrar untuk meluaskan serangan ke bandar paling selatan Semenanjung Gaza, Rafah, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk wilayah itu telah mencari perlin-dungan daripada pertempuran di tempat lain. Ramai yang membanjiri khemah-khemah dan tempat perlindungan yang dikendalikan oleh PBB berhampiran sempadan Mesir.
Amerika Syarikat (AS), sekutu utama Israel, telah bekerjasama dengan pengantara Mesir dan Qatar untuk berusaha membroker satu lagi perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Pemimpin politik tertinggi pejuang Hamas, Ismail Haniyeh berada di Kaherah untuk bertemu dengan pegawai Mesir hari ini, tetapi tidak adanya jangkaan ia akan membawa kejayaan.
Sementara itu, tentera Israel mengarahkan pemindahan kawasan kejiranan Zaytoun dan Turkoman di pinggir selatan Bandar Gaza, satu petanda yang menunjukkan pejuang Palestin masih memberikan tentangan sengit di kawasan utara Gaza yang dikatakan oleh tentera Israel telah dibersihkan sebahagian besarnya minggu lalu. – AFP