Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel tingkat serangan di Bandar Gaza, ribuan rakyat Palestin larikan diri

    DEIR AL-BALAH, SEMENANJUNG GAZA, 8 JULAI –Tentera Israel meningkatkan operasi di bandar terbesar Semenanjung Gaza dalam apa yang dikatakan tentera bertujuan untuk menghapuskan militan, menyebabkan ribuan rakyat Palestin melarikan diri hari ini dari kawasan yang sudah musnah pada minggu-minggu awal peperangan selama sembilan bulan itu.

    Pencerobohan ke timur Bandar Gaza memperluaskan penglibatan Israel di utara wilayah yang terkepung itu, kawasan yang dikatakan Israel telah dikawalnya beberapa bulan lalu.

    Kelompok-kelompok militan telah mengurangkan kemaraan tentera Israel dan menarik semula tentera ke dalam operasi-operasi sedemikian. Israel telah mengarahkan pemindahan di kawasan itu sebelum serangan berkenaan, kata tentera.

    Pertempuran hebat dalam minggu-minggu pertama peperangan itu telah me-ngosongkan Bandar Gaza dan sekitarnya, dan tentera Israel telah menghalang kebanyakan orang daripada pulang ke rumah mereka.

    Tetapi beberapa ratus ribu rakyat Palestin kekal, tinggal di dalam tinggalan rumah atau tempat perlindungan mereka. Pertempuran baharu itu bermakna perpindahan baharu.

    Gambar yang diambil dari Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza menunjukkan kepulan asap semasa pengeboman Israel ke atas Bandar Gaza City, kelmarin. – AFP

    “Kami melarikan diri dalam kegelapan di tengah-tengah serangan sengit,” kata Sayeda Abdel-Baki, ibu kepada tiga orang anak yang berteduh di rumah saudara-maranya di kawasan kejiranan Daraj. “Ini adalah pemindahan kelima saya.”

    Penduduk melaporkan tembakan artileri dan kereta kebal, serta serangan-serangan udara.

    Kementerian Kesihatan Gaza, yang mempunyai akses terhad ke utara, tidak segera melaporkan kematian. Pertahanan

    Awam yang dikendalikan Hamas berkata kawasan itu tidak dapat diakses kerana pertempuran sengit.

    Sebagai tanda bahawa operasi itu mungkin diperluaskan, Israel mengeluarkan perintah pemindahan tambahan pada hari ini untuk kawasan di kejiranan lain di tengah Bandar Gaza, menyeru penduduk untuk menuju ke selatan ke bandar Deir al-Balah. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda