Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga bagi Istiadat Perkahwinan Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Dayang Anisha Rosnah binti Adam telah diadakan di Lapau, di ibu negara, hari ini.
Majlis yang penuh adat istiadat tersebut disempurnakan di hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sebagai wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke majlis istiadat tersebut dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Majlis bermula dengan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan mengadap dan menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah siap sedia.
Setelah itu, Yang Amat Mulia menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran
Muda Mahkota, yang kemudian menyabdakan supaya istiadat dimulakan.
Seterusnya Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan memberikan isyarat kepada Juru Laki Haji Johan Areffen supaya majlis istiadat dimulakan.
Setelah menjunjung anugeraha, Ketua Juru Laki Haji Johan Areffen berjalan menuju Pataratna dan kemudiannya duduk dengan hormatnya serta terus mengangkat sembah kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
Kemudian Ketua Juru Laki Haji Johan Areffen pun beringsut menaiki pipak tangga Pataratna satu demi satu dan terus mengambil Nakara dengan mengangkat dan mengusung di atas kepalanya lalu berjalan membelah majlis menuju ke tempat yang dikhaskan untuk meletakkan Nakara di atas kedudukannya di tengah-tengah di antara dua Gendang Labek.
Ketua Juru Laki Johan Areffen seterusnya menitir Nakara diikuti oleh gualan Gendang Labik, tiupan Serunai, Gong dan Chanang dengan diiringi oleh tembakan meriam. Tiap-tiap Titir diikuti dengan tembakan meriam sehingga 21 das.
Selepas itu, diikuti dengan Titir Gendang Alih-Alihan Tengah dan Gendang Alih-Alihan Hujung serta diikuti oleh Titir Gendang Perang yang lazim jumlah titirnya adalah mengikut jumlah orang-orang yang hadir (yang berhak digendangkan).
Gendang Perang dititir bagi putera-putera sultan, pengiran-pengiran cheteria dan pengiran-pengiran peranakan titirnya adalah bernakara, manakala bagi pehin-pehin manteri berchiri tidak bernakara, dianggarkan 10 kali titir bernakara dan 10 kali titir tidak bernakara.
Sebaik sahaja selesai Titir Gendang Perang, Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Seterusnya, Ketua Juru Laki Haji Johan Areffen kemudian menjunjung anugeraha dan terus mengusung Nakara di atas kepalanya dan berjalan membelah majlis menuju ke Pataratna dan apabila sampai ke tangga Pataratna beliau naik beringsut menaiki pipak tangga Pataratna satu demi satu dan seterusnya meletakkan Nakara yang diusungnya untuk diletakkan ke tempat asalnya.
Sebaik sahaja Ketua Juru Laki Haji Johan Areffen keluar majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah sempurna dilaksanakan.
Yang Amat Mulia kemudian menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah sempurna dilaksanakan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya bersabda kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan supaya mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai sempurnanya Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya berangkat meninggalkan majlis.
Majlis juga dihadiri oleh pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis-majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pedalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, ahli-ahli majlis mesyuarat negara, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan serta para jemputan.