PUTRAJAYA, 31 JAN – Isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi
Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu bagaimanapun berkata sebarang ketetapan mengenai perkara tersebut termasuk kenyataan media hanya akan dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan berhubung permohonan pengampunan Najib.
“Saya minta bantuan semua, janganlah kita bertindak sebelum masanya dan tunggu kenyataan rasmi dikeluarkan.
“Patuhi proses itu, kalau tidak nanti timbul pelbagai reaksi. Kita perlu tunjuk profesionalisme dalam buat pelaporan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA) bahawa Najib telah diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun. – Bernama