Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Isu pengurusan UNN dibangkitkan

    Oleh Sim Y. H. dan Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahiyah Bakir & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Isu pengurusan daripada peringkat awal penubuhan Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd, antara yang menjadi perkara utama dibangkitkan oleh kakitangan syarikat-syarikat komunikasi yang terlibat.

    Selain itu, terdapat kerisauan mengenai nasib lebih 500 orang kakitangan tempatan yang akan kehilangan pekerjaan kerana pihak UNN akan memilih pekerja-pekerja yang diperlukan sahaja.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan perkara itu semasa lawatan tidak berjadual ke UNN Sumbiling Telephone House, hari ini.

    Baginda bertitah menyatakan bahawa pekerja-pekerja yang kurang diperlukan itu akan dimasukkan ke dalam sebuah skim khas yang lain, dengan tujuan mereka itu nanti akan berhenti secara sukarela.

    “Jika ini berlaku, jawatan yang dikosongkan akan ditawarkan kepada pekerja-pekerja asing yang dianggap lebih berkemahiran dan inilah antara isu yang tidak mudah berakhir,” tegas Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke UNN Sumbiling Telephone House, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah semasa lawatan tidak berjadual ke UNN, kelmarin.

    UNN merupakan sebuah organisasi 100 peratus milik kerajaan di bawah Darussalam Assets (DA) Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada 4 Disember 2018 bertujuan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi digital di negara ini.

    Manakala pada 1 September 2019, UNN telah mengambil alih semua infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian di negara ini berserta aset-aset dari tiga buah syarikat telekomunikasi tempatan iaitu Telekom Brunei Sdn Bhd (TelBru), Datastream Technology Communication Sdn Bhd (DST) dan Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB).

    Apabila infrastruktur rangkaian syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini diambil alih oleh UNN, berlakulah kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat malah juga dalam kalangan orang ramai telah timbul banyak persoalan.

    Tegas Baginda, apakah kebaikan atau manfaat penyatuan ini dibuat di samping juga terdapat harapan bahawa inisiatif ini akan membawa perubahan positif khasnya kepada harga perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

    Selain isu kerisauan hilang pekerjaan, titah Baginda, pekerja-pekerja tempatan juga heboh mempersoalkan jawatan-jawatan di peringkat pengurusan eksekutif UNN yang mana ia hampir dimonopoli oleh warga asing, di mana lima daripada tujuh jawatan tertinggi UNN dipegang oleh warga asing.

    “Ini membawa berbagai tuduhan dan kesalan dalam kalangan pekerja tempatan terhadap pihak DA Sdn Bhd malah mengandaikan bahawa pegawai yang bertanggungjawab di dalam kerajaan lebih gemar mengambil warga asing dengan memberikan gaji lebih tinggi daripada yang diterima warga tempatan, sekalipun jawatan yang disandang adalah sama,” titah Baginda.

    “Beta dalam perkara ini, tidak akan segera menyebelahi mana-mana pihak tetapi lebih cenderung untuk mengetahui hakikat tanpa dibayangi oleh sebarang usaha atau niat menyembunyikan kebenaran.

    “Selain itu, perlu disiasat ialah mengenai prestasi warga asing sama ada memberangsangkan atau sebaliknya kerana ada sungutan mempertikai bahawa mereka ini seolah-olah tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam telekomunikasi kecuali lebih banyak memikirkan kepentingan peribadi bukan untuk kemajuan UNN,” tegas Baginda.

    Baginda turut bertitah mengenai dengan sungutan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab membuat pilihan sering menyebelahi dan mengikut kemahuan pegawai-pegawai warga asing tersebut.

    “Setelah lebih empat tahun penubuhan UNN, sungutan terus berlaku mengenai tahap perkhidmatan dengan masalah kelajuan Internet adalah antara yang kerap dibangkitkan,” tegas Baginda.

    Tapi pihak UNN sering mengelak dengan memberi alasan bahawa perkara itu berpunca daripada kecurian kabel tetapi dalam masa yang sama, pihak UNN tidak atau kurang usaha mengatasi isu kecurian tersebut.

    Berbangkit daripada kelemahan itu, titah Baginda, sehingga ada segelintir orang awam telah memberikan na-ma julukan UNN sebagai ‘Useless National Networks’.

    Baginda bertitah, syak wasangka tidak dapat dielak dari berterusan, di mana pada awal tahun 2022, kesulitan UNN telah disiasat oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) tetapi siasatan tidak dapat diselesaikan kerana pegawai berkenaan telah balik ke negara asalnya bersama-sama dengan isterinya, Ketua Pegawai Kewangan di DA Sdn Bhd.

    Tindakan mereka meninggalkan Brunei ini, tegas Baginda, telah mencetuskan spekulasi sebagai mengelakkan daripada disiasat oleh pihak berkenaan dan menguatkan lagi spekulasi bahawa konsultan berkenaan adalah penerima gaji yang lumayan, yang disamakan dengan gaji seorang menteri tetapi terdesak untuk menamatkan perkhidmatannya kerana takut disiasat.

    Sementara pada Julai 2022, pihak audit juga telah diarahkan untuk membuat audit terhadap beberapa buah syarikat telekomunikasi di bawah DA Sdn Bhd termasuk UNN.

    Pengerusi DA Sdn Bhd sebaliknya mengarahkan pihak Jabatan Audit untuk tidak perlu membuat pemeriksaan audit.

    Menurut Baginda, tindakan pengerusi tersebut menghalangi Jabatan Audit untuk membuat pemeriksaan telah mengejutkan ramai pihak sekali gus mencetuskan andaian bahawa Pengerusi DA Sdn Bhd dengan tindakannya itu bertujuan untuk menutupi segala permasalahan syarikat-syarikat di bawah DA Sdn Bhd.

    Berdasarkan beberapa kerenah negatif telah mengundang spekulasi salah guna kuasa dan kewangan di UNN dan ini dikuatkan lagi dengan kerenah sebilangan warga asing yang telah menyatakan hasrat untuk berundur lebih awal daripada tempoh kontrak mereka tamat.

    “Mengapa mahu berundur lebih awal sedangkan perkhidmatan UNN masih menjadi teka-teki, mereka sepatutnya bukan berundur lebih awal tetapi bekerja lebih keras untuk membina UNN supaya lebih berdaya maju dan menyerlah dan bukan meninggalkan dalam keadaan muram dan bermasalah,” tekan Baginda.

    “Jadi keputusan untuk berundur lebih awal itu sedang UNN masih dibelenggu masalah adalah mewajarkan untuk membuat rumusan bahawa mereka gagal dalam menyempurnakan tugas-tugas yang diberikan atau memilih cepat-cepat angkat kaki untuk mengelakkan perbuatan salah laku terbuka jika ada.

    “Semua insiden ini sepatutnya jangan dilihat dengan sebelah mata sahaja, tetapi ia perlu dilihat dengan mata kesedaran,” titah Baginda lagi.

    Tidak dinafikan bahawa jawatan eksekutif adalah lumrah disandang oleh orang-
    orang asing kerana faktor-faktor kepakaran dan pengeluaran, tetapi ini tidak bererti kita mesti menonton sahaja cara mereka bekerja dan menerima bulat-bulat segala hasil mereka sebagai unggul dan lurus belaka.

    Mengambil sikap seperti ini, tekan Baginda lagi, adalah tidak betul tetapi yang betul ialah pihak kita juga mesti ada usaha dan rancangan berkesan, berkaitan transfer of knowledge kepada warga tempatan.

    “Adakah UNN pernah dilaksanakan penguditan, jika ada, apa hasilnya? Dan setakat manakah perkembangan antara pihak pengurusan eksekutif warga asing dengan anak-anak tempatan?

    “Selain itu, apakah perancangan UNN dalam usaha ke Bruneinisation peringkat pengurusan? Dan adakah DA Sdn Bhd dan UNN mempunyai pelan strategik sama ada bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang?,” soal Baginda.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...