PARIS, 1 MAC – Isu pepijat yang menggemparkan Perancis pada musim luruh 2023 didakwa diperbesar-besarkan oleh maklumat salah dalam akaun media sosial yang dikaitkan dengan negara Rusia, kata seorang menteri Perancis hari ini.
Komen oleh Menteri Eropah, Jean-Noel Barrot berikutan amaran yang semakin me-ningkat dari Perancis tentang bahaya maklumat palsu Rusia khususnya bertujuan untuk menjejaskan sokongan terhadap Ukraine ketika ia sedang berusaha melawan pencerobohan.
“Isu pepijat sengaja diperbesar-besarkan dalam rangkaian sosial oleh akaun yang didapati berasal atau terinspirasi dari Rusia,” katanya kepada siaran televisyen, TF1.
“Ia sebahagian besarnya disebarkan secara meluas oleh akaun yang dikaitkan dengan Kremlin,” tambahnya.
Media telah melaporkan bahawa perkhidmatan perisikan Perancis menyimpulkan terdapat kaitan antara Rusia dan kepanikan pepijat, namun itu adalah kali pertama seorang menteri Perancis mengesahkannya secara terbuka.
Barrot berkata akaun media sosial itu malah telah mencipta ‘kaitan palsu antara ketibaan pelarian Ukraine dan penyebaran pepijat’.
Pada bulan Oktober, Perancis menutup beberapa sekolah kerana dikhawatirkan sebagai pembiakan pepijat ketika kerajaan mengadakan beberapa siri mesyuarat tergempar.
Serangga pepijat itu dilaporkan dikesan di metro Paris, kereta api TGV berkelajuan tinggi dan di Lapangan Terbang Charles De Gaulle di Paris. – AFP