Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadikan zikir sebagai pakaian

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini yang bertajuk ‘Zikrullah Menjana Negara Sejahtera’ menyeru agar masyarakat di negara ini terutama umat Islam untuk sentiasa menjadikan zikir itu sebagai pakaian dan amalan yang sentiasa tertanam di hati dan bukan sebagai satu kebiasaan yang sifatnya sebagai sementara dan bermusim.

    “Amalan zikir itu perlu diserapkan dalam rutin harian dan biarlah amalan zikir itu menjadi satu perkara yang sebati dengan diri kita,” katanya.

    Kerana dengan berbuat demikian, ujarnya lagi, ia amat bertepatan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir.

    Menurutnya lagi, zikir atau berzikir itu perintah Allah kepada hambanya, malah Rasulullah SAW berzikir dan beristighfar kepada Allah setiap hari, sebanyak 100 kali.

    “Allah menciptakan manusia itu adalah semata-mata untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya dengan mengerjakan semua yang diperintahkan dan meninggalkan apa juga laranganNya.

    “Antara amal ibadah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah itu ialah zikir, zikir itu membawa pengertian yang luas, tidak hanya terbatas kepada ucapan tasbih, tahlil, tahmid, tadbir dan seumpamanya,” kata khatib.

    Katanya lagi, zikir itu merangkumi semua perkataan dan perbuatan yang menepati kehendak syarak selagi ia bersandarkan kepada ketaatan dan kepatuhan terhadap Allah dan RasulNya.

    Berzikir itu sangat digalakkan buat orang Islam untuk mengerjakan dan ia bukanlah satu perkara susah untuk dilakukan bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

    Ini kerana, jelas khatib, mereka mengetahui dan meyakini, manfaat zikir itu sangat besar dan sangat hebat, antara manfaat zikir itu ialah mendapat perlindungan Allah dan dilepaskan daripada mara bahaya.

    Adapun manfaat zikir itu, manusia mendapat perlindungan daripada Allah dan dalam perkara ini, kita dianjurkan untuk sentiasa berzikir dan mengingati Allah pada bila-bila masa, walau di mana berada.

    Dalam hal ini, rakyat dan penduduk negara ini hendaklah sentiasa menjadikan zikir itu sebagai pakaian dan amalan yang sentiasa tertanam di hati dan bukan sebagai satu kebiasaan yang sifatnya sebagai sementara dan bermusim.

    “Melalui mengamalkan zikir, Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam keadaan yang aman damai dan dapat menjana kesejahteraan serta terhindar daripada segala wabak, bencana dan musibah,” ujar khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda