Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Jadilah pengguna kewangan dalam talian yang bertanggungjawab

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Selaras dengan perkembangan teknologi dalam perkhidmatan kewangan, risikonya turut berkembang.

    Baru-baru ini, terdapat peningkatan dalam penipuan malware melalui telefon pintar, mesej pancingan data (phishing), dan penipuan pembayaran dalam talian di rantau ini dan tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam.

    Oleh yang demikian, dalam usaha untuk mengatasi ancaman siber dan melindungi pengguna-pengguna kewangan, maka institusi-institusi kewangan secara berterusan turut mengambil langkah-langkah untuk memperkukuhkan sistem perbankan masing-masing untuk mengelakkan pencerobohan data.

    Pada masa yang sama, pengguna kewangan juga memainkan peranan yang besar dalam menjaga keselamatan data peribadi serta memperkukuhkan peranti masing-masing.

    Dengan kerjasama institusi kewangan dan pengguna kewangan, kita boleh membina pertahanan yang kuat dan kukuh untuk menentang risiko kecurian maklumat dan kerugian kewangan, serta memastikan kita sentiasa selamat dalam talian.

    Para pengguna diingatkan supaya mengambil langkah berwaspada semasa membuat pembelian dalam talian. – Freepik
    Gambar Freepik

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan dalam siri artikel berjudul Jadilah Pengguna Kewangan Dalam Talian yang Bertanggungjawab yang merupakan inisiatif bersama oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Cyber Security Brunei (CSB) dan Persatuan Bank-bank Brunei (BAB).

    Oleh yang demikian, beberapa tip dan nasihat turut dikongsikan untuk meningkatkan perlindungan daripada penipuan digital dengan menjadi pengguna kewangan dalam talian yang bertanggungjawab antaranya dengan memperkukuhkan alat-alat peranti awda dan pentingnya kesedaran mengenai risiko-risiko dengan dunia digital seperti serangan siber, penipuan dalam talian dan juga kecurian maklumat peribadi.

    PERKUKUHKAN ALAT PERANTI AWDA

    Para pengguna kewangan dalam talian dinasihatkan untuk terus mempertingkatkan keselamatan semua alat peranti yang digunakan untuk membuat transaksi kewangan mereka. Ini begitu penting sebagai usaha membantu untuk melindungi data peribadi dan kewangan awda.

    Kebanyakan individu menjadi mangsa memuat turun malware dengan tidak sengaja setelah menekan pautan yang tidak diketahui asalnya. Ini boleh mengakibatkan maklumat perbankan dicuri atau akaun awda diakses tanpa kebenaran awda.

    Antara perkara yang patut dilakukan oleh setiap pengguna kewangan dalam talian ialah sentiasa mengemas kini sistem pengendalian, aplikasi, dan / atau firmware alat-alat peranti awda, dan kita juga disarankan untuk hanya memuat turun aplikasi melalui stor
    aplikasi yang rasmi seperti Apple AppStore atau Google PlayStore.

    Selain itu, para pengguna kewangan dalam talian juga dikehendaki untuk memadam atau membuang mana-mana aplikasi yang tidak diperlukan atau tidak digunakan lagi. Periksa semua aplikasi dalam alat-alat peranti awda untuk memastikan tiada aplikasi yang mencurigakan.

    Begitu juga, kita dikehendaki untuk menutup fungsi seperti rangkaian tanpa wayar, Bluetooth dan Komunikasi Medan Dekat ataupun Near Field Communication (NFC) bila tidak digunakan.

    Manakala itu, perkara-perkara yang perlu dititikberatkan sebagai pengguna kewangan dalam talian ialah mengelak daripada menekan pautan yang tidak diketahui atau tanpa pengesahan terlebih dahulu. Penipu biasanya menggunakan tajuk atau imej yang menarik perhatian mangsa untuk menekan pautan yang berkemungkinan mempunyai perisian malware.

    Satu hal lagi yang perlu ditekankan dalam memastikan telefon pintar para pengguna tidak pernah dipecah sekat (jailbreaking) atau rooting.

    Begitu juga para pengguna kewangan dalam talian juga disarankan agar sentiasa mengelak daripada menyambungkan alat-alat peranti awda kepada port USB atau peranti yang tidak diketahui.

    Selain itu, para pengguna juga dikehendaki untuk membatalkan sebarang aktiviti yang mencurigakan terutamanya yang membuatkan alat peranti pintar awda mengeluarkan amaran.

    SENTIASA BERWASPADA

    Turut dikongsikan dalam siri artikel berkenaan, pada era digital hari ini, kita perlu sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga sama ada semasa mengakses atau membincangkan maklumat awda di tempat awam, atau melayari Internet dan membuat pembelian dalam talian.

    Begitu mustahak untuk kita sentiasa peka terhadap sebarang risiko dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri.

    Jika kita berwaspada dan proaktif, kita dapat mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa serangan siber. Oleh yang demikian, antara perkara yang patut dilakukan ialah mestilah sentiasa berwaspada dengan hanya berbincang mengenai urusan kewangan di tempat yang selamat dan tertutup bagi mengurangkan risiko dicuri dengar.

    Begitu penting juga untuk semua untuk sentiasa berhati-hati ketika membuat pembayaran di mana-mana kedai atau semasa menggunakan ATM di kawasan terpencil. Berhati-hatilah dengan persekitaran awda semasa memasukkan maklumat akaun dan daripada pandangan pengintip.

    Dalam pada itu, kita juga perlu memastikan alamat laman web atau URL bank serta mana-mana platform membeli-belah dalam talian bermula dengan https atau mempunyai tanda ikon kunci. Periksa dan sahkan bahawa alamat laman web adalah betul, kerana penggodam boleh menggunakan huruf yang seakan sama dengan laman web asli untuk mengelirukan pengguna.

    Perkara-perkara yang juga perlu ditekankan sebagai seorang pengguna kewangan dalam talian ialah dengan terus mengelak daripada membuat transaksi dalam talian melalui laman web yang mencurigakan atau tidak diketahui.

    Di samping itu, awda juga perlu mengelakkan daripada membuat transaksi dalam talian melalui rangkaian tanpa wayar (Wi-Fi) awam, terutamanya hotspot Wi-Fi yang palsu.

    Oleh itu, dengan adanya amalan-amalan sedemikian, ia boleh membantu para pengguna kewangan dalam talian untuk memastikan maklumat dan transaksi kewangan awda selamat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...