TASHKURGAN, China – Lebuhraya Persahabatan China-Pakistan beroperasi sepanjang 1,300 kilometer dari bandar raya Kashgar di barat China sehinggalah melalui gunung tertinggi di dunia dan melintasi beberapa sempadan.
Bagi China, jalan raya dua lorong itu melambangkan perkongsian dan kerjasama yang mekar, dengan pelaburan infrastruktur pelaburan berpuluh-puluh bilion dolar. Namun bagi kebanyakan ahli perniagaan Pakistan yang tinggal dan berkerja di sisi sempadan China menyatakan bahawa jalan itu hanya satu hala bagi mereka.
“China mengatakan bahawa persahabatan kami adalah setinggi gunung Himalaya dan sedalam lautan, namun tidak mempunyai hati,” kata salah seorang ahli perniagaan Pakistan, Murad Shah, ketika beliau baru membuka kedainya di Tashkurgan, 120 kilometer dari laluan pergunungan di mana kenderaan trak kelihatan beratur panjang untuk menyeberangi sempadan antara wilayah Xinjiang yang luas dan Pakistan.
“Tidak ada kelebihan bagi Pakistan. Ia hanyalah sekadar untuk mengembangkan pertumbuhan China,” kata Shah, sambil menyusun barangan batu permatanya.
Pekan terpencil ini yang mempunyai sekitar 9,000 penduduk, dan berada di tengah-tengah rancangan geografi Beijing untuk membina sebuah arteri perdagangan utama – Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) – menghubungkan Kashgar ke pelabuhan Laut Arab di Gwadar.



Projek ini merupakan sebuah permata mahkota dalam inisiatif One Belt, One Road (OBOR) China, sebuah program infrastruktur global mega untuk memulihkan Laluan Sutera kuno dan menghubungkan syarikat-syarikat China kepada pasaran baru di seluruh dunia.
Pada tahun 2013, Beijing dan Islamabad telah menandatangani perjanjian bernilai AS$46 bilion untuk membina infrastruktur pengangkutan dan tenaga di sepanjang koridor itu, dan China telah menaik taraf jalan pergunungan yang sangat merbahaya yang dikenali sebagai Lebuhraya Karakoram.
Walaupun kedua-dua negara itu mengatakan bahawa projek tersebut menguntungkan kedua-dua pihak, namun data menunjukkan kisah yang berbeza. Eksport Pakistan ke China jatuh hampir lapan peratus pada separuh kedua 2016, sementara import melonjak naik kepada hampir 29 peratus.
Pada bulan Mei, Pakistan menuduh China kerana telah membanjiri pasarannya dengan kadar yang banyak dan mengancam untuk bertindak balas dengan tarif yang lebih tinggi.
“Terdapat semua harapan dan impian ini mengenai eksport Pakistan,” kata Jonathan Hillman, salah seorang pekerja di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington.
“Tetapi jika anda mempunyai hubungan dengan China, apa yang anda akan eksport?”
Produk-produk yang biasa dibawa kepada pengguna-pengguna barangan oleh pedagang-pedagang Pakistan ke Xinjiang adalah: ubat-ubatan, kelengkapan dandanan diri, batu-batu permata, karpet dan kraftangan.
Ahli perniagaan Pakistan di Xinjiang telah melihat beberapa faedah dari CPEC ini, mengadu mengenai gangguan keselamatan dan syarat-syarat aturan kastam yang tidak menentu.
“Jika anda membawa sesuatu dari China, ianya tidak mempunyai masalah,” kata Muhammad, seorang peniaga di Laluan Sutera purba di Kashgar.
Tetapi beliau berkata bahawa tarif barangan import Pakistan adalah “tidak diisytiharkan. Hari ini lima peratus, esok-esok mungkin 20. Kadang-kadang, mereka hanya mengatakan yang ini tidak dibenarkan.”
Tiga tahun yang lalu, Shah telah didenda antara lapan dan 15 yuan sekilo kerana membawa ‘lapis lazuli’, iaitu sejenis batu biru. Cukai sejak dari itu melonjak kepada 50 yuan sekilo, katanya. Pegawai kastam memberitahu AFP bahawa “unsur-unsur yang mempengaruhi harga itu terlalu banyak” bagi mereka untuk menawarkan “senarai kos yang tepat dan terperinci”.
Sementara pengimport berskala besar dapat menyerap tarif tersebut, peniaga Pakistan yang bebas telah mendapat sedikit manfaat daripada CPEC, kata Hasan Karrar, profesor ekonomi politik di Lahore University of Management Sciences.


Alessandro Ripa, seorang pakar dalam projek infrastruktur China di Ludwig Maximilian University Munich, berkata lebuh raya itu “tidak terlalu relevan kepada keseluruhan perdagangan” kerana laluan laut adalah lebih murah dan lebih cepat”.
Projek ini dianggap seperti satu alat bagi China untuk mempromosikan kepentingan geopolitiknya dan membantu syarikat-syarikat milik kerajaan di sana untuk mengeksport pengeluaran yang berlebihan, katanya.
Para peniaga juga menghadapi kawalan keselamatan yang melampau di China. Sepanjang tahun lepas, Beijing telah membanjiri Xinjiang, yang mempunyai penduduk Islam yang besar, dengan berpuluh-puluh ribu anggota keselamatan dan memaksa peraturan yang ketat untuk menghapuskan ‘ekstremisme’.
Ahli perniagaan mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan beribadah di masjid-masjid tempatan, sementara kedai-kedai boleh ditutup sehingga setahun kerana telah mengimport barangan yang bertulis dalam bahasa Arab.
Pada bulan Jun, sepanjang perjalanan 300 kilometer antara Kashgar dan Tashkurgan, para pemandu telah diarah untuk berhenti pada setiap enam buah tempat pemeriksaan polis, manakala para penumpangnya pula perlu melalui alat pengesan logam dan menunjukkan kad pengenalan mereka. Tanda-tanda amaran juga dikuatkuasakan di mana para pegawai boleh menyemak telefon bimbit mereka bagi mengesan kandungan berbaur agama ‘sesat’.
Pegawai-pegawai polis juga telah mengadakan temuduga siasatan di Tashkurgan di mana seorang jurujual di kedai buku terpaksa memberikan telefon pintar dan komputernya untuk diperiksa, dan perkara itu katanya boleh berlaku beberapa kali dalam seminggu.
Semasa beliau bercakap, tiba-tiba penggera berbunyi. Beliau mengambil lembing, perisai badan dan topi keledar hitam dari kaunternya dan bergegas ke jalan, di mana anggota polis telah mengumpulkan lebih dari sedozen orang untuk latihan anti-keganasan.
Latihan ini diadakan sehingga empat kali sehari. Kedai-kedai akan ditutup sehingga beberapa hari jika mereka tidak mengambil bahagian. Berbalik kepada Kashgar, Muhammad berharap bahawa CPEC akan menjadikan kehidupan lebih baik, namun beliau percaya kawalan keselamatan berbentuk tindasan ini akan terus menjadi penghalang buat mereka.
Beliau merancang untuk memberikan peluang tersebut selama tiga tahun lagi. Tetapi, katanya, beliau tidak boleh menunggu buat selama-lamanya: “Ramai orang telah berpatah balik.” – AFP