Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan jadi hamba kepada harta

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Godaan harta kadang-kadang menyilaukan mata dan membutakan hati terutama bagi mereka yang lemah iman dan kurang pengetahuan agamanya.

    “Ini sehinggakan kerana harta yang melimpah ruah, ramai yang terjerumus dalam kehancuran dunia dan kecelakaan di akhirat, dan tanpa keteguhan iman kepada Allah juga, harta akan membawa kesengsaraan bagi yang memilikinya.”

    Perkara itu ditegaskan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Manfaat Harta di Jalan Allah’, dan turut menegaskan, kemewahaan harta dan ketinggian pangkat adalah nikmat yang tanpa disedari, dan ia juga adalah ujian yang melalaikan sehingga menjadikan hambaNya suka bermegah-megah.

    Katanya lagi, “sifat bermegah-megah adalah sesuatu yang merosakkan hati dan perasaan, dan ia juga sesuatu yang melumpuhkan manusia dari melihat yang hakiki di dunia yang sementara ini.”

    Dalam Al-Quran atau hadith, jelas Khatib, tidak ada satu pun ‘Nas’ yang melarang orang Islam untuk mengumpul harta dan kekayaan, tapi apa yang dilarang adalah bermewah-mewah dengan harta benda dan memberikan jiwa dan hati menjadi hamba kepada harta.

    Khatib seterusnya memberi salah satu contoh sahabat Rasulullah S.A.W., Abdur Rahman ibn Awf (R.A), yang mana beliau adalah antara sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah dan terkenal dengan harta kekayaannya.

    “Walaupun beliau seorang yang hartawan tapi, kemewahan beliau sebagai seorang pedangan tidak menjadikannya lali dari menjadi hamba Allah yang beriman,” jelasnya.

    “Kekayaan yang melimpah itu, tidak menghalang beliau menjadi orang yang paling dermawan dalam mengurniakan harta kekayaan ke jalan Allah dan paling pemurah dalam berbuat kebajikan terhadap fakir miskin.”

    Apabila Allah mengurniakan harta dan rezeki yang lebih, ia bukan untuk mewah berbelanja, tetapi untuk lebih memberi, ini kerana dalam setiap rezeki atau harta yang diperolehi itu terdapat juga hal orang lain di dalamnya.

    Harta dan rezeki yang diperolehi bukan hanya digunakan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi ia juga boleh dimanfaatkan atau diinfak ke jalan yang diredhai Allah iaitu dengan cara bersedekah, mengeluarkan zakat, berwakaf dan seumpamanya.

    Dalam agama Islam juga amat menggalakkan bersedekah dan bantu membantu antara satu dengan lain, yang mana infak atau membelanjakan harta dengan bersedekah, menderma, mengeluarkan zakat atau wakaf bukan sahaja dapat membantu golongan fakir miskin dan membantu orang yang memerlukan, malah ia juga dapat membantu diri sendiri.

    Melalui amalan infak itu, jelas Khatib, ianya dapat melatih jiwa seseorang untuk menjadi orang yang belas kasihan, berkasih sayang, jauh dari sifat pentingkan diri sendiri dan seumpamanya.

    – Gambar oleh Muiz Matdani

    Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Sabtu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda