Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Usaha dan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam menangani penularan COVID-19, menunjukkan trend yang positif ke arah meratakan graf jangkitan tetapi ia tidak harus menjadikan kita leka (complacent) dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk meneruskan langkah-langkah pengawalan COVID-19.
Seruan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) ketika menerangkan mengenai hasil dapatan daripada aplikasi Health Info Brunei semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau turut mendedahkan dua lagi kes jangkitan COVID-19 direkodkan hari ini membawa jumlah keseluruhan kepada 131, manakala tujuh sembuh dan 692 sedang menjalani kuarantin (lagi laporan di Muka 3).
Ketika menerangkan lanjut mengenai trend positif graf jangkitan pandemik itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan usaha-usaha yang diperkenalkan menerusi kaedah seluruh negara, memberi kesan kepada kadar jangkitan COVID-19 di mana ia mengambil masa selama lima hari bagi negara untuk mencatatkan kadar R (t) atau kadar transmisi bawah 1 iaitu kadar yang terkawal dan dalam lingkungan sistem kesihatan negara untuk menangani jangkitan berkenaan.
“Apa-apa tindakan kerajaan yang dibuat seperti penutupan sekolah, melarang perhimpunan, larangan perjalanan keluar negara, penutupan masjid dan mandatori pengasingan diri 14 hari untuk orang yang tiba di negara ini, dapat dilihat bahawa pendekatan ini membantu sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak ini,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa menerusi penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk meramalkan trend jangkitan COVID-19 supaya dapat menyediakan keperluan dari segi sistem kesihatan untuk memastikan bahawa daripada ubat-ubatan, persediaan doktor dan perawat barisan hadapan serta juga peralatan perlindungan diri (PPE) adalah mencukupi.
Terdahulu dalam menjelaskan graf trend pertumbuhan jumlah kes yang disahkan jangkitan COVID-19, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa graf mendatar menunjukkan pertumbuhan yang terkawal dan tidak melonjak seperti graf menaik kes-kes di negara-negara lain di dunia terutama di Eropah.
Jika dibandingkan dengan graf pertumbuhan dengan jiran-jiran di Asia Tenggara, graf mendatar di Brunei juga menunjukkan trend positif yang rata, jelasnya lagi.