Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan salahkan Messi – Sampaoli

    NIZHNIY NOVGOROD, 21 Jun – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mempertahanankan pemain bintangnya, Lionel Messi dan berkata perlawanan skuadnya menentang Croatia adalah perlawanan mesti menang.

    Finalis 2014 itu, memasuki perlawanan genting Kumpulan D awal pagi esok, terdesak untuk mendapat tiga mata selepas hanya meraih keputusan seri 1-1 menentang Iceland dalam perlawanan sulung mereka di Rusia.

    Pasukan Amerika Selatan telah dikritik atas persembahan mereka. Meskipun memperoleh kelebihan awal menerusi jaringan Sergio Aguero namun Al-fred Finnbogason berjaya menyamakan kedudukan sebelum Messi gagal menyudahkan penalti separuh masa kedua.

    Sampaoli mengakui bahawa ‘peluang Argentina’ adalah tipis selepas seri itu tetapi berkata dia yakin pasukannya mampu memperbaiki kedudukan mereka.

    “Kami perlu beralih ke fasa seterusnya, itu adalah tujuan kami,” katanya. “Kami tidak mahu pergi ke perlawanan terakhir tanpa menyelesaikan perkara itu.”

    Jorge Sampaoli ketika menghadiri sidang media menjelang pertemuan genting antara Argentina dan Croatia. Sampaoli menegaskan bahawa kegagalan pasukannya meraih kemenangan dalam aksi pertama tidak seharusnya ditanggung Messi seorang. – AP

    Ditanya beberapa kali mengenai Messi, Sampaoli berkata permulaan mengecewakan menentang Iceland bukan salah pemain bintangnya itu, meskipun terlepas sepakan penalti.

    “Kami sangat kecewa mengenai kegagalan memenangi perlawanan namun saya fikir Leo tidak seharusnya menanggung kesemuanya.”

    Dia menambah, “Apabila kami berjaya bersama Argentina, semua orang mendapat pujian namun setiap kali Argentina tewas, ia selalunya salah Messi. Saya fikir ia tidak adil.”

    Sampaoli dijangka membuat beberapa perubahan pada pasukannya bagi perlawanan menentang Croatia, namun tidak akan terlalu membincangkan mengenainya kerana dia belum bercakap dengan barisan pemainnnya.

    Apa sahaja keputusan selain menang akan menyebabkan Argentina memerlukan kemenangan di perlawanan terakhir kumpulan menentang Nigeria pada 27 Jun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda