Wednesday, April 23, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangkitan COVID-19 membimbangkan di Jerman

    BERLIN, 22 JULAI – Canselor Jerman Angela Merkel berkata hari ini beliau bimbang mengenai peningkatan jangkitan COVID-19 di Jerman, menggesa warga Jerman supaya segera mendapatkan suntikan vaksin.

    “Angka jangkitan meningkat lagi dan dengan kadar yang membimbangkan,” beritahu Merkel pada sidang media di Berlin.

    “Kami sedang menyaksikan peningkatan pesat,” kata beliau, menambah ‘setiap vaksinasi merupakan satu langkah kecil ke arah pengembalian kepada keadaan normal.”

    Jerman telah mencatat jumlah jangkitan yang rendah pada musim panas berbanding kebanyakan negara jiran Eropah, namun kes telah meningkat semula sejak dua minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan varian Delta.

    Agensi kesihatan Institut Robert Koch (RKI) hari ini berkata negara mencatat 1,890 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu dan kadar insiden 12.2 kes baharu setiap 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari lalu – meningkat daripada 4.9 pada awal Julai.

    Merkel berkata beliau menjangka kes tersebut akan bertambah dua kali ganda dalam tempoh dua minggu akan datang. “Dengan kadar insiden meningkat, ia mungkin memberi petunjuk bahawa kami perlu memperkenalkan langkah tambahan,” kata beliau.

    “Lebih ramai orang menerima suntikan vaksin, lebih bebas pergerakan kami – bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai komuniti.”

    Jerman mula melonggarkan sekatan pandemik pada bulan Mei dan kini telah membuka semula restoran, kedai, kolam renang dan muzium, serta membatalkan had perhimpunan awam dan persendirian.

    Setakat hari ini, 60.4 peratus daripada warga Jerman telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19, dengan 48 peratus menerima dos vaksin sepenuhnya. – AFP

    Canselor Jerman Angela Merkel semasa mengadakan sidang media di Berlin, Jerman kelmarin. Merkel berkata beliau bimbang mengenai peningkatan jangkitan COVID-19 di Jerman, menggesa warga Jerman supaya mendapatkan suntikan vaksin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda