Selepas beberapa minggu berehat daripada media sosial, pelakon Janna Nick tampil mendedahkan dia rupa-rupanya menghidap penyakit bipolar.
Menerusi perkongsian di Instagram, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 26, berkata dia kini sedang menjalani rawatan dengan mengambil ubat atas nasihat doktor.
“Saya telah didiagnos secara klinikal menghidap penyakit bipolar. (Sekarang) saya berehat daripada menggunakan media sosial untuk fokus pada diri sendiri.
“Sudah seminggu (dan masih berterusan) saya makan ubat antidepressant. Selama ini saya ingatkan fikiran saya berfungsi sama seperti orang lain… ingatkan semua orang ada lebih daripada tiga atau empat suara dalam kepala mereka,” katanya.
Bipolar merupakan penyakit kemurungan manik yang menyebabkan gangguan mental.
Pelakon drama Marry Me Senorita ini juga menganggap suara-suara dalaman yang sering bermain di fikirannya adalah sesuatu yang normal sehinggalah dia mendapatkan rawatan.
“Saya memang ingat ia adalah normal untuk suara dalaman itu… untuk sentiasa bercakap satu sama lain seperti sedang melakukan perbincangan kumpulan. Sehinggalah saya sedar (yang perkara itu tidak normal) selepas saya mula makan ubat.
“Saya tak tahu (penyakit bipolar ini datang) disebabkan faktor genetik atau disebabkan kehidupan masa silam saya,” ujarnya lagi.
Kekasih kepada aktor Dini Azan Schatzmann, 27, ini juga membuat pendedahan mengejutkan bahawa dia pernah membuat cubaan bunuh diri sebanyak dua kali diusia remaja.
Menerusi laporan wartawan sebelum ini, Janna memuat naik sebuah video sedang menangis disebabkan tekanan yang dihadapinya.
Dalam video tersebut, pengacara Melodi itu berulang kali memberitahu dia penat memikirkan tentang kerja, namun terpaksa meneruskan demi mencari rezeki untuk keluarga. – Agensi