Thursday, January 16, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jarak sosial pada bulan Ramadan agak mustahil

    KUALA LUMPUR, 1 APRIL – Usaha untuk menjaga jarak sosial dilihat agak mustahil dapat dicapai sepanjang penularan pandemik COVID-19 ketika ini, lebih-lebih lagi jika dilihat kepada sambutan dan kesesakan semasa bazar Ramadan, demikian menurut Akademi Perubatan Malaysia.

    Menurut kenyataan persatuan itu, sebarang sentuhan akan mudah berlaku di kawasan parkir, jalan dan dalam kalangan pembeli dan penjual yang seterusnya membawa kepada jangkitan gelombang ketiga.

    “Banyak pengorbanan akan terus dituntut tahun ini. Usaha untuk membasmi COVID-19 masih jauh perjalanannya dan kita perlu terus membendungnya agar dapat menikmati banyak lagi Ramadan seterusnya. Kecundang dalam usaha ini bukanlah satu pilihan,” katanya dan amat tidak bersetuju dengan sebarang rancangan untuk mengadakan bazar Ramadan tahun ini melihatkan kepada ancaman COVID-19 sekarang ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan daripada laporan berita yang memetik Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata bahawa pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan akan mengubah suai bazar itu mulai tahun ini bagi mengelakkan kesesakan di gerai-gerai yang terlibat.

    Persatuan itu kemudian mencadangkan agar bazar Ramadan beroperasi secara dalam talian dengan menggalakkan perkhidmatan penghantaran bagi mengurangkan risiko jangkitan dan meminimumkan kesan ekonomi ke atas peniaga kecil yang berkenaan.

    Sementara itu, persatuan berkenaan menggesa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, agar menjalankan kuarantin sendiri di rumah masing-masing untuk 14 hari dan pergi mendapatkan pengesahan jika terdapat simptom COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda