LONDON, 27 MAC — Jaringan Jude Bellingham ke-22 pada musim ini menyelamatkan keputusan seri 2-2 antara England dan Belgium sekali gus meneruskan prestasi cemerlangnya menjelang Kejohanan Eropah tahun ini.
Pemain tengah Real Madrid itu menunjukkan betapa pentingnya dia di dalam pasukan kepada jurulatih, Gareth Southgate dengan jaringan pada minit kelima masa kecederaan di Stadium Wembley untuk menyelamatkan England dari kekalahan berturut-turut, selepas tewas 1-0 kepada Brazil pada Sabtu lalu.
Belgium membuka jaringan pada minit ke-11 apabila penjaga gol England, Jordan Pickford cuba mengeluarkan bola tetapi dipintas oleh Amadou Onana sebelum membuat hantaran kepada Tielemans, yang seterusnya merembat dari luar kotak penalti.
Toney menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-17 selepas dijatuhkan oleh Jan Vertonghen.
Tetapi Belgium mendahului sekali lagi apabila Romelu Lukaku membuat hantaran silang ke tiang belakang gawang sebelum bola ditanduk masuk oleh Tielemans pada minit ke-36.
England mencipta banyak peluang tapi gagal menyamakan kedudukan.
Tiba masa kecederaan, Bellingham menerima hantaran daripada pemain gantian James Maddison lalu menjaringkan gol dengan tenang melepasi kesesakan kotak penalti serta penjaga gol, Matz Sels menjadikan keputusan perlawanan 2-2. – AP