Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jejari kreatif bentuk diorama comel lote

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan Dayang Molly

    Kenangan pertama kali menyaksikan koleksi diorama berskala mikro ketika berkesempatan mengadakan lawatan ke salah sebuah muzium sewaktu masih kecil, merupakan detik mula perasaan ‘cinta pandang pertama’ seorang insan seni terhadap seni miniatur.

    “Sungguh indah di pandang mata, mata saya bagaikan terpukau dengan benda-benda yang kecil itu. Bayangkan pertama kali saya melihat barangan seperti telefon, meja, kerusi, kotak mancis yang berukuran sungguh kecil dan comel, dan begitu juga sinaran lampu kecil yang bernyala.

    “Semuanya sungguh menawan hati ini sehingga membuatkan saya sangat teruja dan mula tertanya-tanya pada diri ini pada ketika itu bagaimana semua itu dapat dihasilkan,” ujar salah seorang penggemar seni miniatur tanah air, Dayang Mollyani bin Haji Ibrahim atau lebih senang disapa dengan panggilan Dayang Molly dengan nada keriangan ketika mengimbas detik nostalgia mula mengenal dunia seni miniatur dalam hidupnya semasa berkesempatan ditemui penulis dalam talian, baru-baru ini.

    Hadiah rumah miniatur plastik pertama
    Wanita berjiwa kreatif yang menetap di kawasan Panaga, Seria itu turut berkongsi lanjut, kecintaan dirinya terhadap seni miniatur itu semakin ‘berbunga-bunga’, lebih-lebih lagi ketika menjejak usia 10 tahun, apabila beliau telah dihadiahkan sebuah rumah miniatur yang diperbuat daripada plastik.

    “Itulah koleksi rumah miniatur yang pertama kali saya miliki. Pada saat itu, saya mengetahui rumah miniatur itu serba kekurangan, maka dari situ saya mula mengisi ruang-ruang dalam rumah miniatur itu dengan pelbagai barangan yang dapat dikitar semula.

    Sepanjang meniti dunia seni kerajinan kreatif berkenaan, koleksi sentuhan Dayang Molly kebanyakannya lebih menjurus kepada replika barangan harian seperti perabot-perabot, bingkai gambar, tasbih, buku, majalah, variasi makanan dan minuman dan lain-lain.
    Dayang Molly, insan seni kreatif miniatur tanah air bersama salah sebuah hasil rekaannya.

    Antara peralatan yang digunakan oleh Dayang Molly untuk menghasilkan pelbagai barangan berkonsepkan seni miniatur.

    “Salah satunya, butang baju saya jadikan sebagai piring makan,” tambahnya dengan senyuman manis.

    Sentuhan berkisar barangan harian
    Dayang Molly turut menyatakan sepanjang meniti dunia seni kerajinan kreatif berkenaan, kebanyakan koleksi lebih menjurus kepada replika barangan harian seperti perabot-perabot, bingkai gambar, tasbih, buku, majalah, variasi makanan dan minuman dan lain-lain.

    “Pada tahun 1998, itulah detik saya mula belajar membuat sendiri barangan berkonsepkan seni miniatur ini.

    Begitu cepat masa berlalu, pada waktu itu belum ada kemudahan Internet, saya mencuba menggunakan bahan-bahan dari air dry clay untuk mereka bentuk piring, cawan, makanan.

    “Walaupun proses-proses pembuatan agak rumit disebabkan kekurangan peralatan dan idea namun perkara itu tidak mampu menghancurkan kecintaan saya terhadap seni kreatif itu bahkan pastinya semangat itu semakin membara.

    Pastinya percubaan dan kegagalan menjadi peneman diri pada ketika itu sehingga mencapai hasil yang memuaskan hati,” kongsinya lagi yang kini sentiasa mengasah kemahiran seni miniatur dari semasa ke semasa bersandarkan pembacaan majalah dan buku serta tidak ketinggalan juga dengan memanfaatkan kemudahan dari Internet.

    Menjelaskan mengenai bahan-bahan yang digunakan, Dayang Molly berkata dalam menghasilkan pelbagai sentuhan rekaan barangan miniatur itu memerlukan bahan-bahan seperti kayu-kayu dari jenis papan lapis nipis dan juga Balsa; dan kepingan akrilik. Pemilihan bahan-bahan berkenaan adalah disebabkan ia begitu mudah untuk dipotong menggunakan pisau atau gunting.

    Sementara itu, bagi keperluan mewarnakan barangan rekaan miniatur, beliau kebiasaannya menggunakan cat akrilik dan penggilat tanpa kandungan toksik demi menjamin keselamatan ketika menghasilkan produk di dalam rumah.

    Fokus, teliti dan sabar kunci kesempurnaan
    Dalam menghasilkan apa sahaja kegiatan seni kreatif, Dayang Molly turut menekankan bahawa sikap penuh ketelitian, jiwa kesabaran, sentiasa fokus serta rajin melakukan penyelidikan adalah kunci kesempurnaan demi untuk mendapat reka bentuk yang tepat dan juga masa yang mencukupi dalam menyelesaikan satu-satu projek miniatur.

    “Suatu hal yang perlu kita ketahui, dengan mempunyai hobi, ianya boleh meningkatkan kehidupan kita sehari-hari dengan nilai-nilai positif yang dapat menjadikan mental kita lebih produktif, melegakan segala tekanan dan menguji kebolehan diri sendiri secara proaktif dari semasa ke semasa.

    “Oleh itu, segala kemahiran atau bakat, bermula dari sebuah percubaan dan dari langkah yang kecil itu sebagai suatu pencetus kebolehan masing-masing untuk sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri sendiri.

    “Yakinlah semua orang itu memiliki bakat tersendiri, yang pastinya setiap percubaan dan kesilapan adalah warna kehidupan sebelum mencapai cita-cita yang diimpikan,” ucap tulusnya yang kini berusia 46 tahun semasa mengakhiri perbualan secara maya, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda