TOKYO, 18 Jun – Import pesawat udara Amerika Syarikat (AS) membantu Jepun mencatat defisit dagangan pada Mei, data rasmi menunjukkan hari ini, tetapi pakar berkata ia adalah kesan sementara yang tidak dikaitkan dengan ketegangan perdagangan berterusan.
Import Jepun meningkat 14.0 peratus pada Mei berbanding setahun sebelumnya, menurut data kementerian kewangan.
Eksport juga menikmati kenaikan sebanyak 8.0 peratus tetapi kesan keseluruhan adalah defisit bersih berjumlah 578.3 bilion yen.
Defisit adalah hampir tiga kali lebih daripada jumlah yang dicatat pada tahun lalu dan keluar selepas lebihan selama dua bulan berturut-turut.
“Defisit datang daripada pertambahan dalam import dari Amerika Syarikat,” kata Takeshi Minami, ketua ahli ekonomi di Institut Penyelidikan Norinchukin, mendapati terdapatnya pertambahan empat kali ganda pembelian pesawat udara AS oleh Jepun.
Beliau juga mendapati harga minyak mentah naik mendadak, mendorong bil import Jepun meningkat lebih tinggi.
“Ia merupakan kenaikan sementara dan tidak dikaitkan dengan dasar perdagangan,” kata beliau, mengetepikan kemungkinan Jepun sedang menambah pembelian produk AS tatkala Washington melaksana dasar perdagangan bersifat perlindungan.
“Eksport akan terus bertambah untuk seketika tetapi kami harus bersikap was-was terhadap tindakan bersifat perlindungan, kemungkinan kemelesetan dalam ekonomi AS, dan bagaimana pasaran membangun mengendali keadaan ketika menghadapi kenaikan kadar faedah AS,” beritahu Minami kepada AFP. – AFP