Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jigsaw kembali mendebarkan jiwa penonton di pawagam

    PENJUALAN tiket yang agak merosot jelas masih dapat dilihat pada minggu ini walaupun Jigsaw keluaran Lionsgate telah mula ditayangkan di pawagam bersempena dengan musim Halloween.

    Filem seram tersebut berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$16.3 juta setelah ditayangkan di 2,941 pawagam.

    Jigsaw merupakan filem kelapan dalam francais filem Saw yang menceritakan mengenai ketaksuban aktiviti di luar batasan minda dilakukan oleh seorang pembunuh psiko lakonan Tobin Bell.

    Walaupun kutipan filem tersebut kelihatan agak rendah namun dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$10 juta untuk merealisasikan filem itu ternyata keuntungan jelas telah berjaya dinikmati oleh kumpulan produksi yang menjayakan filem tersebut.

    Dalam filem terbaru ini, ia menumpukan kepada kisah sedekad selepas kematian Jigsaw namun secara tiba-tiba pembunuhan bersiri yang dilakukan dengan teknik yang sama dengan pembunuh psiko itu telah kembali membuatkan pihak polis mula menyiasat bagi menyelesaikan kes yang mencabar itu.

    Jigsaw menampilkan latar kisah sedekad selepas kematian pembunuh psiko bernama Saw.
    Tyler Perry’s Boo 2! A Madea Halloween merupakan siri kesembilan dalam francais filem Diary of a Mad Black Woman.
    Kehidupan masyarakat berubah menjadi huru-hara tatkala bencana melanda dalam Geostorm.

    Filem pertama Saw mula dilancarkan pada Oktober 2004 di bawah arahan James Wan dan diterbitkan oleh Lionsgate.

    Dari situ, ia mula menjadi siri filem tahunan sehingga tahun 2010 melalui filem Saw 3D.

    Presiden Pengedar Domestik Lionsgate, David Spitz menjelaskan bahawa pihak produksi berharap agar pasaran Jigsaw masih meluas terutama bagi mengubati rindu peminat yang telah menantikan selama enam tahun untuk menonton siri terbaru dalam francais filem itu.

    “Francais filem ini memiliki pengikut setianya yang tersendiri sehingga penjualan tiket filem itu telah berjaya mencecah setinggi AS$1 bilion di peringkat antarabangsa. Secara purata, francais filem Saw telah berjaya menyemarakkan suasana seram dan penuh debaran pada minggu Halloween,” jelas Spitz.

    Manakala juara minggu lalu, Boo 2! A Madea Halloween keluaran Lionsgate pula menduduki tangga kedua dengan jumlah kutipan sebanyak AS$10 juta setelah ditayangkan di 2,388 pawagam.

    Kutipan filem yang dibintangi dan diarahkan oleh Tyler Perry itu menurun sebanyak 53 peratus berbanding minggu lalu.

    Secara purata, filem kesembilan dalam francais Diary of a Mad Black Woman itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$35.5 juta setelah ditayangkan selama dua minggu.

    Kehidupan Theresa “Tree” Gelbman mula berada dalam keadaan tidak tenteram apabila sering dihantui dengan mimpi ngeri dalam Happy Death Day.
    Antara aksi mendebarkan dalam Blade Runner 2049.

    Geostorm keluaran Warner Bros pula menduduki tangga ketiga dengan kutipan sebanyak AS$5.6 juta setelah ditayangkan di 3,246 pawagam di mana kutipan tersebut menurun sebanyak 59 peratus berbanding minggu lalu.

    Sementara, Happy Death Day keluaran Universal pula berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$5 juta sekali gus menduduki tangga keempat di dalam carta.

    Blade Runner 2049 keluaran Warner Bros pula menduduki tangga kelima dalam carta dengan kutipan sebanyak AS$4 juta setelah ditayangkan di 2,421 pawagam.

    Antara beberapa buah filem baru lain yang ditayangkan pada minggu ini adalah Suburbicon lakonan Matt Damon dan Thank You For Your Service lakonan Miles Teller.

    Namun ternyata kutipan hasil tayangan daripada filem-filem baru ini jelas sangat mengecewakan berbanding apa yang telah diharapkan.

    Secara purata, hasil kutipan yang hanya berjaya diperoleh hasil dari tayangan keseluruhan bulan Oktober adalah hanya AS$539.1 juta di mana ia jelas memperlihatkan penurunan sebanyak 13.4 peratus berbanding bulan lalu dan ia jelas berbeza dengan kutipan yang cukup membanggakan iaitu sebanyak AS$8.73 bilion yang diperoleh hasil tayangan filem pada Oktober tahun lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda