Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah melaksanakan tiga operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Panyap 2025 yang menyasarkan beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara.
Tujuan operasi berkenaan adalah untuk menguatkuasakan akta dan peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah JIPK, termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229.
Operasi Panyap 01/2025 menyasarkan rumah sewa di Mukim Berakas B, di mana pemeriksaan dijalankan terhadap seorang warganegara asing yang kemudian ditahan kerana dipercayai melakukan tiga kesalahan.
Kesalahan-kesalahan tersebut adalah tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh, bekerja bukan dengan majikan asal, dan bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pas kerja.
Operasi Panyap 02/2025 yang dijalankan di Mukim Kilanas dan Mukim Pengkalan Batu pula mendapati tujuh warganegara asing telah ditahan bagi siasatan lanjut.
Lima daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa setelah pas imigresen mereka mansuh, manakala tiga orang daripadanya turut dipercayai bekerja menggunakan pas lawatan.
Dua lagi warganegara asing ditahan kerana bekerja bukan dengan majikan asal dan bersubahat melakukan kesalahan imigresen.
Operasi Panyap 03/2025 di permis perniagaan di Mukim Gadong B pula menyaksikan dua warganegara asing ditahan kerana bekerja menggunakan pas lawatan.
Dalam masa yang sama, JIPK juga mengongsikan tiga kes pendakwaan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17, yang melibatkan individu-individu yang didapati tinggal lebih masa di negara ini selepas pas imigresen mereka mansuh.
Salah satu kes tersebut melibatkan Mutukumar Karuppiah, seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 48 tahun yang dijatuhkan hukuman lima bulan penjara dan tiga kali sebatan bermula pada 24 Disember 2024.
Kes lain melibatkan Muhammed Juwel Miah, lelaki warganegara Bangladesh berumur 26 tahun yang dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan tiga kali sebatan pada 28 Disember 2024.
Suroso, seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 54 tahun, juga dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan tiga kali sebatan. Namun, disebabkan umurnya melebihi 50 tahun, sebatan tersebut diganti dengan denda sebanyak $1,000. Gagal membayar denda tersebut, hukuman keseluruhannya menjadi tujuh bulan penjara, bermula pada 7 Januari.
Sementara itu, pendakwaan terhadap Md Rasel Sheikh, lelaki warganegara Bangladesh berumur 32 tahun, merupakan kes peralihan dari Pasukan Polis Diraja Brunei.
Beliau dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara bagi kesalahan mencuri kepingan logam dan zink bumbung, serta tujuh bulan penjara dan tiga kali sebatan bagi kesalahan tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh. Hukuman keseluruhan adalah 19 bulan penjara dan tiga kali sebatan, bermula pada 28 Disember 2024.
JIPK terus mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai pesalah imigresen dengan menghubungi talian Hotline Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).