Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIS sekolah pertama Brunei pasang solar utama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) melakar mercu tanda penting apabila melancarkan Projek Solar PV dan menjadi sekolah pertama di Brunei untuk melaksanakan pemasangan solar utama dan mengintegrasikan sistem tenaga solar komprehensif, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIS, di sini, sekolah berkenaan telah memasang lebih daripada 600 panel solar yang dianggarkan dapat menghasilkan hampir 600,000KWh tenaga setiap tahun.

    Inisiatif berkenaan bermatlamat untuk mengurangkan jejak karbonnya secara signifikan dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam komuniti kampus JIS.

    Panel-panel solar berkenaan diletakkan di atas bumbung beberapa buah bangunan utama dengan 99 panel di atas Pusat ePembelajaran (eLC), 88 panel di dewan kuliah (LEC), 88 panel di Blok D&T (Blok Q) dan 336 panel di kompleks sukan.

    Dengan sokongan daripada Berakas Power Company Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Serikandi, sokongan berkenaan menggunakan sistem PV solar efisien yang mempunyai jangka hayat 25 tahun bagi memastikan penggunaan jangka panjang bagi sekolah itu.

    Pemandangan panel solar di atas bangunan-bangunan JIS. – GAMBAR SERAHAN JIS
    Gambar ramai antara kakitangan JIS dan panel penceramah. – GAMBAR SERAHAN JIS

    Majlis pelancaran projek berkenaan yang berlangsung di Pusat Kesenian JIS semasa Minggu Bumi JIS, dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Pengetua JIS, Nicholas Sheehan dan diikuti dengan pembentangan oleh pelajar-pelajar JIS yang mengetengahkan pelbagai inisiatif hijau yang dijalankan di sekeliling sekolah.

    Sheehan dipetik menyatakan bahawa dengan sekolah-sekolah di seluruh dunia semakin mengutamakan kemampanan, mereka berhasrat untuk menjadi saur kepimpinan alam sekitar, menyokong amalan-amalan mesra alam di dan luar kampus.

    Beliau menambah bahawa melindungi bumi merupakan sebuah isu global yang menjejaskan semua kerana terlalu banyak yang dipertaruhkan jika kita tidak bermula untuk mengambil tindakan melalui inisiatif-inisiatif alam sekitar sekarang.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian ucapan bermaklumat daripada tokoh-tokoh unggul dalam sektor tenaga iaitu Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Solarvest Holdings Sdn Bhd, Leon Liew Chee Ing yang membincangkan mengenai ekonomi dan inovasi tenaga ke arah dunia lebih hijau.

    Sementara itu, Ketua Bahagian Peralihan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Shirley Sikun mengetengahkan mengenai kecekapan tenaga dan pemuliharaan, manakala Pengarah Teknikal Kumpulan Syarikat Srikandi, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi meneroka mengenai prospek tenaga suria dan pilihan kerjaya di Negara Brunei Darussalam.

    Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, kira-kira 100 orang pelajar dari sekolah-sekolah tempatan telah dijemput untuk menghadiri majlis berkenaan, dengan hasrat untuk menggalakkan minat kepada kemampanan dan inovasi dalam kalangan generasi muda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda