Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JKR Sarawak guna pakai BIM teraju transformasi digital dalam pembinaan

    KUCHING, 9 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersedia untuk menerajui transformasi digital industri pembinaan negeri dengan mengguna pakai sistem model bangunan bermaklumat (BIM), alat inovatif yang akan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesilapan dan memastikan projek disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

    Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur negeri, JKR Sarawak sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi dan penggunaan BIM merupakan satu langkah berani dalam usaha mentransformasikan industri pembinaan.

    “Dengan menunjukkan kelebihan BIM, kami dapat menggalakkan industri pembinaan di Sarawak untuk menerima pakai pendekatan transformatif ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari BIM JKR Sarawak 2024 di sini hari ini.

    Beliau berkata BIM tidak hanya terhad kepada pembinaan, malah ia menyepadukan maklumat terperinci berkaitan komponen bangunan, jadual penyelenggaraan dan kos kitaran hayat, menjadikannya alat yang sangat berharga untuk pengurusan aset secara proaktif, mengurangkan masa henti serta mengoptimumkan peruntukan sumber bagi infrastruktur milik kerajaan.

    “Bagi pihak kerajaan, ini bermakna pengurusan aset awam yang lebih berkesan dan ketelusan lebih tinggi. Bagi rakyat Sarawak, ini bermakna infrastruktur yang lebih selamat, diselenggara dengan lebih baik yang memenuhi keperluan mereka untuk generasi akan datang,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda