Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jorge Sampaoli mohon maaf

    NIZHNIY NOVGOROD, 22 Jun – Jorge Sampaoli memohon maaf kepada penyokong Argentina selepas dimalukan Croatia 3-0, sekali gus menyaksikan impian Piala Dunia bintangnya, Lionel Messi berdepan bahaya.

    Jaringan di separuh masa kedua oleh Ante Rebic akibat daripada kesilapan penjaga gol Argentina, Willy Caballero dan disusuli jaringan Luka Modric serta Ivan Rakitic memastikan kemenangan kepada pasukan Eropah itu dan mengesahkan laluan ke peringkat 16 pasukan terbaik.

    Sampaoli yang kecewa berkata, kekalahan berkenaan adalah kesilapannya sepenuhnya dan memohon maaf kepada penyokong di stadium.

    “Pertamanya, saya memohon kemaafan terutamanya kepada mereka yang hadir dari jauh menyaksikan Argentina,” jelas Sampaoli dengan nada lembut.

    “Saya bertanggungjawab terhadap keputusan ini, bukan seperti yang diimpikan penyokong.”

    Reaksi Sampaoli semasa perlawanan antara Argentina dan Croatia semalam yang menyaksikan Argentina kalah 3-0. – AP

    Kekalahan aksi Kumpulan D itu bermakna, Argentina yang juga antara sebuah pasukan pilihan dan finalis 2014, diambang penyingkiran peringkat kumpulan.

    Setakat ini, mereka hanya meraih satu mata selepas dua perlawanan serta perlu menewaskan Nigeria pada perlawanan terakhirnya untuk menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

    “Saya perlu teliti kembali perancangan untuk perlawanan ini,” kata Sampaoli.

    “Jika saya melakukan perancangan yang berbeza, sudah pasti hasilnya lebih baik. Saya fikir adalah tidak realistik untuk meletakkan tekanan kepada Caballero,”

    Beliau menambah, pasukannya berada dalam tekanan kerana sedar mereka memerlukan keputusan yang positif, namun tertekan selepas melepaskan gol pertama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda