Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC, PJSC komited mantapkan penjagaan kesihatan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dengan sukacitanya mengumumkan penyepaduan strategik mereka, berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

    Pencapaian penting dalam landskap penjagaan kesihatan Brunei ini akan menubuhkan tiga pusat kecemerlangan terbilang sebagai jabatan pakar di bawah JPMC iaitu Pusat Kanser Brunei (TBCC), Pusat Pemulihan & Strok Neurosains Brunei (BNSRC), dan Maxillofacial, Facial Plastic and Reconstructive Surgery Centre (MFPRSC). Bersama-sama, pusat-pusat khusus ini akan meletakkan Brunei sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini.

    Peralihan ini mewakili anjakan transformatif dalam penyampaian penjagaan kesihatan untuk Brunei, sejajar dengan matlamat negara untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan meningkatkan kualiti hidup untuk rakyatnya.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga selaku Pengerusi JPMC dan PJSC menyatakan integrasi berkenaan menandakan satu lembaran baharu dalam perjalanan penjagaan kesihatan Brunei.

    “Dengan menyatukan kekuatan JPMC dan PJSC, kami mewujudkan hab penjagaan kesihatan berpusatkan pesakit yang komprehensif yang akan memacu inovasi, meningkatkan hasil dan menyumbang kepada landskap penjagaan kesihatan serantau,” ujarnya.

    Gambar Canva

    Penyepaduan PJSC ke dalam JPMC membuka jalan kepada pelbagai kelebihan untuk landskap penjagaan kesihatan Brunei. Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-duanya institusi, penjagaan pesakit akan ditingkatkan melalui pendekatan kolaboratif dan penerapan rawatan termaju. Integrasi ini juga meletakkan Brunei sebagai destinasi menarik untuk pelancongan perubatan, seterusnya menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Selain itu, dengan bersatunya institusi itu akan mewujudkan ianya sebagai hab terkemuka untuk inovasi perubatan dan pembangunan profesional, menawarkan persekutuan (fellowships) lanjutan dan peluang untuk profesional penjagaan kesihatan.

    Pesakit akan mendapat manfaat daripada seamless access kepada rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus yang lebih luas, disokong oleh teknologi dan infrastruktur terkini.

    Peralihan strategik ini juga akan memupuk kemajuan dalam beberapa bidang utama, termasuk inisiatif akademik dan penyelidikan, memudahkan pemerolehan peralatan perubatan termaju, dan pelaksanaan teknologi penjagaan kesihatan yang inovatif.

    Penyepaduan itu akan meningkatkan lagi peluang pembangunan profesional untuk kakitangan penjagaan kesihatan dan mengukuhkan perkongsian antarabangsa, memastikan Brunei kekal di barisan hadapan dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan serantau.

    Proses peralihan telah pun bermula untuk memastikan pengalaman yang lancar untuk pesakit, kakitangan dan rakan kongsi penjagaan kesihatan. Penyepaduan penuh perkhidmatan ditetapkan pada 1 Januari 2025. Kedua-dua JPMC dan PJSC kekal komited sepenuhnya untuk mengekalkan kesinambungan penjagaan dan akan memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan sepanjang tempoh transformasi ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda