Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan runcit China pulih, industri pengeluaran perlahan

    BEIJING, 15 OGOS – Jualan runcit China pulih pada Julai manakala pertumbuhan pengeluaran industri perlahan, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan pemulihan ekonomi yang tidak sekata dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

    Lebih setahun setengah selepas menamatkan langkah-langkah pengawalan COVID-19 yang ketat, pemulihan pasca-pandemik yang dinanti-nantikan ternyata singkat dan kurang kukuh daripada yang dijangkakan, dengan krisis hartanah dan kadar pengangguran yang tinggi terus menjejaskan keyakinan pelabur.

    Pada Julai, jualan runcit petunjuk utama perbelanjaan pengguna meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun, pulih daripada peningkatan 2 peratus pada Jun, menurut Biro Statistik Negara (NBS).

    Prestasi itu sedikit melebihi jangkaan penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg, yang meramalkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus.

    Namun, pertumbuhan pengeluaran industri menunjukkan kelembapan, dengan pengembangan 5.1 peratus pada Julai, sedikit menurun daripada 5.3 peratus pada Jun dan kurang daripada ramalan 5.2 peratus dalam kaji selidik Bloomberg.

    Ia merupakan pertumbuhan terendah sejak Mac tahun ini.

    Beberapa sektor seperti industri perkhidmatan di China menunjukkan tanda-tanda pemulihan, didorong terutamanya oleh pelancongan domestik.

    Namun, sektor lain, termasuk industri hartanah, terus menghadapi cabaran besar, dengan banyak pemaju perumahan berada di ambang kebankrapan, menyebabkan rakyat China berasa kurang yakin untuk melabur dalam hartanah. – AFP

    Orang ramai ketika mengunjungi kedai pelbagai di dalam pusat beli-belah di Beijing pada 11 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda