Saturday, January 18, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan sayur-sayuran dan buah-buahan meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Bekalan komoditi sayuran di negara ini masih mencukupi dan masih berjalan seperti biasa walaupun negara berdepan dengan krisis wabak COVID-19.

    Wartawan Media Permata hari ini sempat membuat tinjauan ke beberapa tempat tumpuan penjualan sayur di negara ini, melihat pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang mendapat sambutan.

    Dalam temu bual media bersama salah seorang pengusaha sayur, Haji Puasa bin Haji Barudin, 65, menjelaskan, walaupun negara berdepan dengan wabak COVID-19, tetapi ia tidak menjejaskan jualannya.

    Beliau seterusnya menambah, dalam keadaan negara pada masa ini, permintaan terhadap bekalan sayur mendapat sambutan di luar jangkaannya, seperti tomato, lobak, sayur daun dan juga buah pisang, jualan sayur-sayuran juga amat menggalakkan berbanding pada bulan sebelumnya.

    “Selain itu, permintaan terhadap buah pisang juga semakin meningkat sehingga ada yang terpaksa membuat tempahan lebih awal sebelum ia dihantar ke pasar borong,” jelasnya.
    Salah seorang penjual di pasar berkenaan, Hajah Maimunah binti Haji Mahsuri berkata, sambutan jualan buah pisang pada masa ini sangat menggalakkan.

    Penjualan sayur-sayuran mendapat sambutan yang mengalakkan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong pada sidang media sebelum ini menjelaskan, bekalan komoditi sayuran di negara ini masih dalam keadaan mencukupi.

    Sementara bagi bekalan komoditi daging kerbau dan lembu pula, pengusaha-pengusaha ternakan kerbau dan lembu tempatan dan bekalan import ternakan hidup pada masa ini juga berjalan seperti biasa dengan membekalkan keperluan pasaran tempatan.

    Begitu juga terhadap bekalan komoditi ikan dan udang, aktiviti penangkapan oleh nelayan tempatan dan aktivi-ti akuakultur juga masih berjalan seperti biasa.

    Sementara itu, agensi berkepentingan akan sentiasa memantau perkembangan terkini dan sebarang perubahan yang boleh menjejaskan kemasukan barangan import komoditi pertanian dan perikanan ke negara ini akan ditangani secara bersama melalui Whole of Nation Approach untuk memastikan bekalan makanan terjamin.

    Dalam negara masih berdepan dengan situasi COVID-19, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik dan tidak membeli dalam kuantiti yang begitu banyak bagi barangan keperluan rumah seperti makanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda