Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Syarikat Julok, sebuah kedai permainan biliard dan pool telah membuka cawangannya yang terbaharu di Beribi di mana majlis perasmiannya telah diadakan hari ini.
Hadir merasmikan cawangan berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Jofri bin Haji Abdullah dengan diiringi oleh wakil Syarikat Julok, Awang Adib Rosli, Awang Aziz Sulaiman, Awang Izam Zakaria dan Kenny Lim.
Memandangkan situasi penularan wabak COVID-19 yang masih aktif pada masa ini, majlis perasmian diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, di mana hanya para jemputan yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja dibenarkan memasuki premis, diikuti dengan pemeriksaan suhu badan dan pemakaian pelitup muka.
Syarikat Julok kini mempunyai dua cawangan yang beroperasi dengan sebuah cawangan terletak di Jalan Manggis II.
Cawangan baharu itu memberi tumpuan untuk membawa suasana yang meriah kepada pelanggan yang ingin bermain biliard atau pool, minum kopi atau menikmati makanan.
Ia juga menawarkan bilik VIP pelbagai guna yang juga berfungsi sebagai bilik teater, bilik mesyuarat atau ruang untuk bermain permainan papan.