Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah eksport, import negara meningkat pada suku pertama 2024

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Indeks volum eksport pada suku pertama (Q1) 2024 meningkat sebanyak 27.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan peningkatan jumlah nilai eksport daripada $3,783.9 juta kepada $4,265.3 juta.

    Peningkatan indeks volum eksport disumbangkan oleh peningkatan indeks Bahan Api Galian (29.1 peratus), Minuman (13.1 peratus) dan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (8.7 peratus).

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengongsikan perkara berkenaan dalam siaran akhbar mengenai Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Q1 2024, Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Turut dikongsikan ialah indeks nilai unit eksport mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus, terutamanya disebabkan oleh penurunan indeks Bahan-Bahan Mentah Tidak Boleh Dimakan (3.7 peratus), Minuman (1.9 peratus) dan Makanan (1.4 peratus).

    Sementara itu, indeks nilai unit import mencatatkan peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan peningkatan jumlah nilai import daripada $2,258.5 juta kepada $2,569.4 juta berikutan peningkatan Barang-Barang Keluaran Kilang (21.7 peratus), Pelbagai Barang Keluaran Kilang (3.6 peratus) dan Bahan Api Galian (2.9 peratus).

    Manakala indeks volum import pada Q1 2024 didapati meningkat sebanyak 2.7 peratus disebabkan oleh Barang-Barang Keluaran Kilang (29.5 peratus), Bahan Api Galian (14.8 peratus) dan Pelbagai Barang Keluaran Kilang (4.3 peratus).

    IMTI menunjukkan perubahan nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu. Indeks tersebut juga bermanfaat untuk membuat analisa pasaran global yang berdaya saing dalam mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    Bagi orang ramai yang ingin mengetahui laporan penuh IMTI bagi Q1 2024 boleh melayari laman sesawang JPES iaitu https://deps.mofe.gov.bn/.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda