Anggota kumpulan CN BLUE iaitu Jung Yong Hwa menjalani pembedahan kelmarin akibat meniskus lututnya yang terkoyak.
Perkara itu disahkan sendiri oleh agensi CN Blue yang mengeluarkan kenyataan di sebuah komuniti atas talian mengenai status kesihatan penyanyi berkenaan.
Yong Hwa sebelum ini dilaporkan mengalami ketidakselesaan pada bahagian lutut dan telah menerima rawatan di hospital.
“Kami ingin memaklumkan kepada peminat tentang pembedahan lutut yang akan dijalani oleh Yong Hwa.
“Baru-baru ini, Yong Hwa mengalami ketidakselesaan pada bahagian lututnya dan telah membuat pemeriksaan lanjut di hospital. Meniskus di lutut kanannya disahkan terkoyak.
“Susulan itu, pihak hospital menyarankan agar Yong Hwa menjalani pembedahan pada hari ini (Isnin),” kongsinya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Yong Hwa memberitahu segala aktiviti seni penyanyi berkenaan akan diteruskan selepas ini mengikut nasihat daripada pakar perubatan.
“Selepas berbincang, kami memutuskan untuk meneruskan aktiviti yang dijadualkan mengikut nasihat yang diberikan oleh pihak hospital.
“Kami memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan dan akan memberikan rawatan terbaik bagi memberikan kesembuhan segera buat Yong Hwa,” ujarnya. – Agensi