ROM, 13 DIS – Anggota penyelamat kelmarin telah berusaha untuk mengeluarkan mayat seorang jururawat hamil daripada runtuhan bangunan di Sicily, selepas terjadinya letupan besar yang mengorbankan sekitar tujuh nyawa.
Letupan itu berkemungkinan disebabkan kebocoran gas, memusnahkan empat buah bangunan kediaman lewat Sabtu lalu di bandar selatan Ravanusa, dengan seorang mangsa yang terselamat menggambarkan ia ‘seperti ledakan bom’.
“Pencarian dibuat tanpa henti untuk dua mangsa hilang selepas bencana itu,” kata anggota bomba.
Imej yang dimuat naik dalam Twitter pasukan bomba menunjukkan mereka sedang berdiri di atas runtuhan, sebagai “hari baru untuk pencarian sengsara bermula.”
Letupan itu memusnahkan empat struktur, termasuk bangunan pangsapuri empat-tingkat, di pusat bandar yang dihuni hampir 11,000 orang, menurut agensi perlindungan awam Itali.
Antara mangsa terkorban ialah seorang jururawat, Selene Pascariello berusia 30 tahun yang sedang hamil sembilan bulan, sepatutnya bakal melahirkan anak pada minggu hadapan, menurut akhbar Corriere Della Sera. – AFP