Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juruterbang NZ: Serangan tentera Indonesia ancam keselamatannya

    JAKARTA, INDONESIA, 26 APRIL – Pemberontak pemisah di wilayah yang bergolak, Papua di Indonesia hari ini mengeluarkan video yang menunjukkan juruterbang New Zealand yang diculik mereka pada Februari mengatakan bahawa serangan tentera Indonesia baru-baru ini mengancam keselamatannya.

    Dalam video yang dihantar kepada media oleh jurucakap Tentera Pembebasan Papua Barat, sayap bersenjata Gerakan Papua Merdeka, dikenali sebagai OPM, itu menunjukkan seorang lelaki bergari dan berbaju hitam dikenal pasti sebagai Philip Mark Mehrtens dari Christchurch, seorang juruterbang untuk syarikat penerbangan Susi Air, Indonesia yang diculik oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kumpulan itu.

    Sambil duduk di atas batang kayu dan diapit oleh dua lelaki, jelasnya ahli-ahli kumpulan itu, dia berkata dalam video yang dirakam kelmarin: “Sudah hampir tiga bulan OPM menculik saya dari Paro. Seperti yang awda lihat, saya masih hidup dan saya sihat dan makan dengan baik.”

    Katanya lagi, dia ‘tiada masalah’ semasa tinggal bersama penculiknya, tetapi sejak kebelakangan ini dia bimbang tentang serangan tentera yang dilancarkan oleh tentera Indonesia berikutan serangan hendap maut oleh pemberontak pada 15 April yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima anggota tentera Indonesia yang dikerahkan untuk menyelamatkannya.

    “Indonesia telah menggugurkan bom-bom di kawasan itu sejak minggu lalu,” katanya.

    “Tolong, tak perlu. Ia berbahaya untuk saya dan semua orang di sini.” – AP

    Gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh Tentera Pembebasan Papua Barat menun-jukkan pemberontak pemisah Papua bergambar dengan seorang lelaki yang dikatakan mereka sebagai Phillip Mark Mehrtens yang diculik minggu lalu, di satu lokasi yang tidak didedahkan di wilayah Papua, Indonesia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda