Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Pengangkutan merupakan salah satu kemudahan yang bukan sahaja menumpukan kepada perjalanan malah ia dapat menghubungkan orang ramai serta menyediakan akses kepada pekerjaan, komuniti, barangan dan perkhidmatan sosial.
Sehubungan itu, Kementerian Pengang-kutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sedang memulakan inisiatif kaji selidik secara berperingkat bagi memahami keperluan pengangkutan awam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, MTIC menyatakan bahawa kaji selidik itu bertujuan untuk menambah baik sistem bas yang sedia ada dalam mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan ke arah menyusun strategi
jangka panjang dalam mewujudkan sistem kesalinghubungan yang cekap serta mudah diakses bagi memudah cara mobiliti setiap lapisan rakyat dan penduduk.
Secara amnya kaji selidik itu adalah untuk memahami keperluan pengangkutan awam dan meningkatkan lagi kefahaman serta pandangan orang ramai mengenainya.
Selain daripada cadangan untuk meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan teras perkhidmatan bas awam, ia juga dicadang dapat dilengkapi dengan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan secara berkongsi tumpangan mahupun persendirian dengan memanfaatkan teknologi e-hailing.
Kaji selidik itu dibukakan kepada orang ramai bermula 8 Disember lalu hingga 12
Januari 2024.