Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kaji selidik ke rumah terpilih bermula

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Bermula esok Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menjalankan Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan kali ke-3 (NHANSS-3).

    Kajian itu turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

    Sehubungan itu, sidang media khusus untuk memberi maklumat terperinci mengenai NHANSS-3 telah diadakan di Tingkat 1, Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Hadir semasa sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesiha-tan, Dr Ang Swee Hui.

    Turut hadir ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Kassim; Penolong Kanan Profesor, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD, Dr Nik Ani Afiqah binti Haji Mohamad Tuah; Pegawai Penyelidik, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Lubna binti Haji Abdul Razak dan  Pegawai Perubatan, Unit Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit, Dr Siti Zuhrini Kahan.

    Dr Ang Swee Hui semasa menghadiri sidang media tersebut, kelmarin.

    Semasa sidang media itu, Dr Lubna menjelaskan tujuan kaji selidik itu adalah untuk memberikan gambaran penuh mengenai prevalen dan trend penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) serta faktor risiko berkaitan termasuk penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis, kadar kolesterol dalam darah yang tinggi, obesiti, penggunaan tembakau, amalan pemakanan dan pengambilan alkohol.

    Hasil kaji selidik ini akan membantu Kementerian Kesihatan menilai keberkesanan strategi-strategi dan program-program kesihatan yang telah disediakan di negara ini dalam pencegahan dan pengawalan NCD dan faktor risiko berkaitan. 

    Kaji selidik itu juga akan membantu pihak kementerian untuk menilai status kemajuan dalam mencapai sasaran dan matlamat berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan di peringkat negara, serantau dan global.

    Ia juga membolehkan pihak kementerian untuk membuat perancangan selanjutnya dalam menangani NCD serta faktor risiko berkaitan.

    Kaji selidik tersebut akan dilaksanakan sekitar lapan bulan yang mana Fasa Pertama dilakukan pada bulan November 2022 hingga Januari 2023.

    Fasa Pertama akan memfokuskan isu-isu kesihatan dalam kalangan orang dewasa yang berumur 18 hingga 69 tahun. 

    Manakala Fasa Kedua pula akan dilaksanakan pada bulan Februari hingga Jun 2023 dan akan memfokuskan kanak-kanak dan para wanita.

    Dr Lubna seterusnya menjelaskan pada Fasa Pertama, pegawai kaji selidik akan mengunjungi 5,762 buah rumah yang terpilih di seluruh negara untuk menemu duga seorang ahli keluarga yang terpilih dan akan disusuli dengan pemeriksaan fizikal. 

    Di samping itu, pegawai kaji selidik juga akan menggunakan pas rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan menunjukkan surat kebenaran daripada pihak kmenterian.

    Hanya warganegara dan penduduk tetap akan dipilih untuk mengikuti kaji selidik ini dan pemilihan rumah dan ahli keluarga akan dibuat secara rambang. 

    “Apabila pegawai kaji selidik mengunjungi rumah terpilih, mereka akan memberi penerangan ringkas mengenai kaji selidik ini dan meminta kebenaran serta persetujuan daripada tuan rumah untuk menjalankan kaji selidik tersebut,” jelas Dr Lubna. 

    “Setelah mendapat kebenaran tuan rumah, hanya seorang ahli keluarga akan dipilih secara rambang untuk ditemu duga.

    “Kemudian, pemeriksaan fizikal akan dijalankan terhadap ahli keluarga yang terpilih dan perjanjian seterusnya akan diberikan untuk pengambilan sampel air kencing tidak berpuasa dan sampel darah berpuasa,” tambahnya.

    “Insya-Allah, kaji selidik tersebut akan mula dijalankan2 November di Daerah Brunei Muara dan di Daerah Temburong,” ujarnya.

    Kementerian Kesihatan telah memberikan taklimat kepada penghulu dan ketua kampung di daerah-daerah tersebut dan surat pemberitahuan telah dihantar ke rumah-rumah yang terpilih. 

    Manakala bagi Daerah Belait dan Daerah Tutong taklimat akan diadakan dalam masa yang terdekat.

    Terdahulu sebelum itu, Dr Ang Swee Hui dalam ucapannya turut menekankan kepen-tingan NHANSS-3 yang bakal diadakan.

    “Dengan maklumat yang diperoleh, pihak kementerian akan dapat menilai status kesihatan dan pemakanan penduduk di negara ini, termasuk golongan kanak-kanak dan wanita,” jelas Dr Ang Swee Hui.

    Pada masa yang sama, Dr Nik Ani Afiqah menjelaskan UBD telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan sejak bertahun-tahun dan UBD berbesar hati untuk terlibat dalam kaji selidik itu di mana pihaknya akan mengendalikan bengkel dan latihan bagi membantu pihak kementerian dalam memastikan kelancaran kaji selidik itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...