Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Karnival Pengguna Antarabangsa anjuran Pro Access Event Management akan diadakan pada 28 Februari sehingga 5 Mac ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Wakil Pro Access Event Management, Awang Azman bin Abdul Talib menjelaskan bahawa karnival bertujuan untuk menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Negara Brunei Darussalam, belia-belia lepasan sekolah, graduan dari institut pengajian tinggi yang belum mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ingin memperkenalkan produk yang dimiliki dan seterusnya dapat mempromosikan barangan mereka.
Karnival itu akan menyediakan sebanyak 70 buah petak pameran yang mana 60 peratus daripadanya adalah bagi peserta-peserta dari luar negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan PKS dari Negara Brunei Darussalam sendiri.
Beliau menjelaskan perkara berkenaan semasa sidang media di Restoran Hellas & Catering, Serusop, hari ini, yang turut dihadiri oleh Farisah Haji Mangsor juga wakil dari Pro Access Event Management dan Timbalan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penggerak Seni Brunei Darussalam (3P), Zolkflee Butir.
Semasa karnival itu, pihak penganjur dengan kerjasama Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) juga akan mengadakan My Bisnes Online Talk pada 3 Mac di Dewan Pameran, Stadium Tertutup.
Seminar itu nanti akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula jam 2:30 petang sehingga 6 petang dan jam 8 malam sehingga 10 malam yang akan menampilkan tiga orang penceramah khas dengan menyentuh topik-topik seperti FB Marketing, Copywriting dan Email Marketing.
Ia dibukakan kepada semua belia lepasan sekolah, graduan-graduan institut pengajian tinggi dan orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam Internet dan dalam sama-sama memberikan pendedahan kepada mereka dan bakal usahawan mengenai peluang perniagaan yang boleh dilaksanakan melalui Internet.
Bagi orang ramai yang berminat bolehlah membuat pendaftaran bermula sekarang sehingga sepanjang karnival itu diadakan dengan yuran pendaftaran $50 bagi orang ramai dan $30 bagi pelajar.
Manakala itu, Zolkflee Butir memberitahu bahawa penganjur juga akan bekerjasama dengan Persatuan 3P untuk mengungkayahkan acara pentas sepanjang karnival.
Antara aktiviti pentas yang akan diadakan adalah penampilan artis-artis Brunei Darussalam terdiri daripada ahli-ahli Persatuan 3P, Siti Aisah, Asimah, Jojo, Suzen, Ct Maryam dan Hajah Sa’adiah serta persembahan akustik oleh Kumpulan Iron Dragon, No Band dan Aqasha & Ai, peraduan seni khat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, acara untuk kanak-kanak oleh Tinker Bell Learning School, Rumah Pusaka oleh Kumpulan Putra Seni, Pertandingan Menumpah Ambuyat dan Cabaran Teh Tarik oleh Sabli Food Industries Sdn Bhd.
Perasmian karnival itu dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada jam 2.30 petang.