SYDNEY, 27 DIS – Anggota bomba Australia hari ini berusaha untuk mengawal kebakaran hutan di Taman Negara yang telah memusnahkan kawasan seluas Singapura.
Negeri Timur Victoria berdepan dengan keadaan kebakaran melampau minggu lalu, dengan beberapa kejadian kebakaran yang memaksa berpuluh-puluh ribu penduduk luar bandar untuk berpindah.
Kebakaran terbesar kini telah memusnahkan 74,000 hektar Taman Negara Grampians, 240 kilometer barat Melbourne, kata jurucakap Pusat Kawalan Negeri Luke Hegarty.
“Kita bercakap mengenai kebakaran seluas negara Singapura,” dia memberitahu penyiar kebangsaan Australia, ABC.
Keadaan kebakaran semakin reda namun ia masih mengambil masa untuk mengawal kebakaran di Grampians, yang kawasannya berukuran lebih 360 kilometer, katanya.
“Ini bermakna kami terpaksa meredah, memandu atau terbang di seluruh kawasan kebakaran untuk memastikan bahawa kami telah mengawalnya dan itu bukan tugas yang mudah,” tambahnya.
Pihak berkuasa berkata bahawa tiada kematian dilaporkan atau rumah musnah. – AFP