GENEVA, 17 DIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan keadaan di sebuah hospital terletak di utara Gaza, begitu ‘menggerikan’ ketika anggota pasukan kemanusiaan tiba untuk menghantar bantuan bahan api, makanan dan ubat-ubatan.
Hospital Kamal Adwan terletak di Beit Lahia, sebuah bandar di tengah-tengah operasi ketenteraan Israel yang sengit bertujuan menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula di utara Gaza.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata selepas beberapa percubaan, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsinya itu berjaya tiba ke hospital berkenaan dua hari lalu, di tengah-tengah serangan dan letupan di sekitar hospital.
Sementara itu, pasukan kemanusiaan yang tiba menghantar 5,000 liter bahan api, makanan dan ubat-ubatan serta memindahkan tiga pesakit ke Al-Shifa, hospital utama wilayah Palestin.
Kamal Adwan adalah antara satu kemudahan perubatan terakhir yang beroperasi di utara wilayah yang dilanda perang dan WHO sudah memberi amaran awal bulan ini bahawa ia beroperasi pada tahap minimum.
Awal bulan ini, satu misi tiba di hospital pada 30 November lalu selepas beberapa minggu percubaan gagal, membawa bantuan dan pasukan kecemasan antarabangsa, termasuk pakar bedah dan pakar lain.
Tetapi, beberapa hari kemudian pasukan itu adalah antara sebilangan besar yang melarikan diri dari hospital di tengah-tengah pertempuran hebat di sekitar kemudahan itu.
“Ini menyebabkan hospital tiada kakitangan khusus untuk pembedahan dan penjagaan.
“Keadaan di hospital itu juga mengerikan dan kami menggesa perlindungan penjagaan kesihatan serta gencatan senjata segera,” Tedros memberi amaran sambil menambah serangan Israel mengakibatkan kerosakan selanjutnya kepada kemudahan dan bekalan oksigen dan elektriknya. – AFP