Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadaan mata dan jantung saya tidak begitu baik – Ebby Yus

    Pelakon Malaysia, Ebby Yus akan melakukan pemeriksaan untuk jantungnya sebelum meneruskan dengan pembedahan memasukkan bateri bagi menyokong jantungnya yang semakin lemah.

    Ebby, 58, berkata, doktor melakukan ujian bagi memastikan keadaan jantungnya terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan pembedahan itu.

    “Bulan depan, saya akan jalani pemeriksaan terakhir. Itulah yang dimaklumkan oleh doktor kepada saya. Mereka ingin pastikan terlebih dahulu keadaan jantung saya sebelum teruskan dengan pembedahan memasukkan bateri itu,” katanya kepada Harian Metro.

    Ditanya mengenai keadaan jantungnya, Ebby tidak menafikan bahawa sedikit sebanyak ia turut menjejaskan aktiviti hariannya.

    “Sekarang, keadaan jantung saya agak lemah. Kalau bergerak dengan laju atau melakukan aktiviti yang menggunakan tenaga, memang saya sendiri dapat rasakan kesannya.

    “Selain itu, cuaca sejuk pun akan memberi kesan juga kepada jantung saya. Satu lagi, kalau terlalu tertekan pun akan memberi kesan juga.

    “Misal kata saya perlu menjalani penggambaran di luar (outdoor) yang memerlukan saya untuk bergerak secara agresif, memang ada kesannya,” katanya.

    Selain jantung, Ebby juga menjalani pembedahan membuang katarak dan selaput pada bahagian mata kelmarin. ‘Untuk mata pula, saya akan jadi pening dan berpinar kalau matahari terlalu kuat’, katanya.

    Kini, Ebby sedang berehat dari penggambaran dan memberi tumpuan kepada keadaan kesihatannya. – Agensi

    Ebby dijadual menjalani pembedahan untuk masalah matanya. – mediacorp.sg
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda