Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Allah SWT telah menciptakan manusia sebagai satu masyarakat yang terdiri daripada pelbagai jenis bangsa, kaum dan warna kulit. Semua ciptaan Allah SWT ini mempunyai hikmah dan tujuan.
Manusia diuji dengan ujian hidup sama ada sihat sejahtera, sakit atau cacat. Ada sebahagian manusia diuji dengan kekurangan pada pendengaran, penglihatan, anggota badannya dan sebagainya. Golongan ini tidak boleh dilupakan di dalam masyarakat.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 sebagaimana tafsirnya ‘Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan.
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Teliti’.
Ayat ini adalah merujuk kepada pembinaan dan pembentukan masyarakat yang berakhlak dengan menyantuni hak sesama insan yang antaranya mengiktiraf kewujudan setiap individu, masyarakat tanpa mengira bangsa, kelainan paras rupa dan tahap keupayaan fizikal dan mental.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat bertajuk Mengutamakan Kebajikan dan Kesejahteraan Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) hari ini.
Khatib seterusnya menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita bernaung dalam sebuah negara yang sentiasa mengalinga dan menyantuni rakyat dan penduduknya tanpa mengira latar belakang, termasuklah juga terhadap golongan OKU. Kebajikan dan kesejahteraan OKU di negara ini sentiasa dititikberatkan semata-mata untuk membentuk keselamatan yang menyeluruh dan saksama untuk semua rakyat dan penduduk di negara ini.
Dalam pada itu, khatib antaranya turut menegaskan golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat kita sebagaimana mereka merupakan ujian dan rahmat Allah SWT kepada kedua ibu bapa, penjaga dan keluarga mereka, maka mereka juga adalah ujian dan rahmat Allah SWT kepada kita.
“Ini kerana dengan adanya orang yang buta, kita menghargai nikmat melihat. Dengan adanya orang yang pekak, kita mensyukuri nikmat mendengar. Dengan adanya orang yang bisu, maka kita lebih menghargai nilai nikmat berbicara,” ujarnya.
Dalam pada itu, khatib terus mengingatkan bahawa kita selaku masyarakat yang prihatin dan penyayang hendaklah sedar dan ingat bahawa kehadiran golongan OKU di dunia ini hendaklah difahami, dibantu dan dibimbing supaya mereka berasa dikasihi, dihargai dan tidak berasa disisihkan oleh masyarakat agar mereka dapat menjalani dan meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik dan lebih sejahtera.
“Apa pun kekurangan yang dihadapi oleh mereka adalah ketetapan daripada Allah SWT sebagai ujian. Jika mereka bersabar, mereka mendapat pahala. Begitu juga dengan ahli keluarga dan pihak yang menjaganya. Justeru, kesedaran setiap masyarakat mengenai kepentingan OKU dan penglibatan mereka adalah diperlukan,” tekan khatib lagi.
Oleh yang demikian, tekan khatib, ja-nganlah kita mengabaikan dan memandang rendah terhadap golongan OKU. Kita juga mempunyai tanggungjawab memberikan pendidikan yang bersesuaian agar mereka dapat hidup bersama masyarakat, mengenal pasti kemampuan dan kelebihan mereka yang boleh dikembangkan dan dilatih sehingga berjaya dan mampu bekerja dan berdikari termasuk dapat menyesuaikan diri secara psikologi dan sosial.
“Marilah kita sama-sama berusaha mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka untuk memperkukuhkan kesejahteraan mereka di samping memastikan golongan ini akan terus menyumbang ke arah peningkatan sosial, kemajuan ekonomi, kemakmuran negara dan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035,” ujarnya.
Dalam pada itu, khatib turut menyatakan untuk kita bersama-sama berdoa semoga kita semua dan golongan OKU di negara ini akan dikurniakan keazaman yang tinggi, dikurniakan kesihatan dan sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT.